Martial Rehat 10 Minggu Selepas Pembedahan, Kontraknya Berakhir Jun Ini

Anthony Martial sebelum ini telah disisihkan selama beberapa minggu setelah mengalami masalah sakit yang Erik Ten Hag sendiri sukar jelaskan.

Ten Hag benar benar bergelut dengan isu kecergasan pemain dalam beberapa bulan terakhir ini.

Kemudian Martial kembali semula. Dan kini Martial kembali berehat kerana dia baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian groin.

Man United pernah cuba memujuk pemain itu untuk menerima tawaran daripada beberapa kelab lain. Namun dia memutuskan untuk terus kekal di United sehingga kontraknya tamat.

Ketika ini, Martial ada satu tahun klausa lanjutan khas. Di mana United sudah memberitahu Martial bahawa mereka tak akan mengaktifkan klausa itu.

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, Martial banyak disisihkan. Sama ada kerana krisis prestasi atau masalah kecergasan.

Pemain yang sangat berbakat itu dianggap The Next Henry ketika dia di AS Monaco. Dia menjadi rebutan banyak kelab besar termasuk Arsenal pada masa itu. Namun memilih untuk ke Manchester United.

Namun kariernya berjalan dengan penuh liku sepanjang bersama dengan Manchester United.

Di bawah Erik Ten Hag, Martial cemerlang pada pra musim ketika Ten Hag pertama kali mengambil alih kelab itu.

Namun selepas kempen sebenar bermula, Ten Hag tidak berpuas hati dengan corak permainan Martial yang dianggap tidak cukup intensif.

Akhirnya pemain itu terus menjadi antara pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan.

Martial sebelum ini terlepas peluang untuk menjadi juara dunia bersama Perancis apabila namanya disingkirkan oleh Deschamps pada saat akhir sebelum sepak mula Piala Dunia 2018.

Martial turut tidak terlibat dalam Piala Dunia 2022. Selepas Deschamps berkeras tidak mahu memanggil pengganti untuk Karim Benzema yang cedera hanya beberapa hari sebelum sepak mula Piala Dunia 2022.

Nama Martial ketika itu antara yang berada dalam senarai menunggu untuk Perancis. Dia juga dianggap layak untuk berada dalam pasukan Perancis selepas aksi cemerlang sebaik sahaja kembali daripada kecederaan.

Malangnya Deschamps lebih rela mengosongkan 1 slot berbanding membawa bersama Martial ke Piala Dunia 2022.

Daripada wonderkid, Martial kemudian menjadi antara pemain yang seringkali dikritik kerana prestasinya yang dianggap tidak meningkat naik.

Kini Martial terus sukar untuk mendapatkan prestasinya. Terutama sekali kecederaan terbarunya yang memaksanya untuk masuk ke dewan pembedahan.

Martial akan berehat sekitar 10 minggu kerana pembedahan itu. Fabrizio Romano melaporkan bahawa kontrak semasa Martial akan berakhir pada Jun ini. Dia sudah boleh bercakap dengan mana mana kelab lain tanpa melalui Man United.

Memandangkan kontraknya berbaki kurang enam bulan lagi.

Ke mana destinasi Anthony Martial?

Pemain itu sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kelab yang berminat dengannya. Namun tidak ada kelab yang benar benar serius dikaitkan dengan Martial. Hal ini kerana Martial seringkali menolak sebarang usaha untuk berunding.

Selain itu, isu mustahak yang lain dalam rundingan pastinya isu gaji pemain itu. Namun selepas ini dia akan menjadi ejen bebas. Dan pastinya itulah peluang kelab kelab lain cuba memujuk Martial menyertai mereka dengan gaji lebih rendah.

Martial masih berusia 28 tahun. Dan usia itu bukanlah tua dalam bola sepak.

Ben Jacobs dari CBS melaporkan, Martial masih boleh menikmati gaji yang tinggi. Kerana kelab dari Arab Saudi masih berminat mahukan pemain itu.

Selain itu Lyon adalah kelab Perancis yang sedia membuka rundingan dengan Martial.

Inter Milan dan juga Fenerbahce juga berminat mahu mendapatkan pemain tersebut.

Buat masa ini, Martial masih fokus kepada Manchester United. Terutama sekali ketika ini dia akan melalui fasa pemulihan selepas pembedahan.