Masalah Kewangan Perak FC, MB Tegaskan Kerajaan Negeri Dah Tak Mampu Nak Bantu Dah

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan beliau bukan tak mahu membantu Perak FC lagi, tetapi menegaskan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya sudah memberikan keseluruhan RM4 juta untuk Perak FC. Terdapat dua pembayaran dibuat iaitu RM2.5 juta dan terbaru RM1.5 juta untuk membantu menyelesaikan tunggakan gaji sebelum ini.

Dipetik dari Utusan Online, Datuk Saarani berkata kerajaan Perak bukannya tak bersimpati tetapi sudah membantu yang termampu.

“Saya faham, saya tengok dalam Facebook ramai menyalahkan saya seolah-oleh saya tak peduli masalah gaji pemain namun terus terang saya katakan kerajaan negeri sudah berbelanja RM4 juta menggunakan duit GLC.”

“Saya minta maaf kepada peminat Perak, saya sudah membantu RM4 juta. Mereka (Perak FC) sudah datang berbincang dengan memberitahu masalah mereka dan saya kata saya hanya boleh membantu seperti mana yang kita telah beri.”

Kemelut tunggakan gaji melanda Perak FC membuatkan ejen kepada beberapa pemain Perak sebelum ini bersuara dan kemungkinan akan mengaktifkan klausa khas yang membolehkan pemain menamatkan kontrak serta merta.

Semalam De Paula meraikan gol dengan menunjukkan isyarat 2 jari dan dislike merujuk kepada tunggakan gaji yang mereka alami ketika ini selama dua bulan.

Saarani menambah, para peminat harus faham bahawa Perak FC sudah diswastakan dan bukan lagi di bawah kerajaan negeri. Oleh itu beliau berpendapat, tugas Perak FC adalah untuk berniaga dan mencari dana bagi meneruskan operasi pasukan.

MB Perak: Kerajaan bukan kejam

Dan kerajaan negeri bermurah hati sebelum ini membantu Perak FC dalam menyuntik dana kerana memahamai Perak FC masih baru sebagai entiti perniagaan.

Dipetik dari sumber yang sama, Saarani berkata: “Tidak betul kalau ada yang kata kerajan negeri tak langsung bantu. Saya telah mengambil inisiatif memujuk beberapa GLC untuk membayar gaji, sebenarnya itu bukan tanggungjawab saya, tapi saya tak mahu melihat kerosakan yang berlaku.”

Selain itu beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh membiayaai secara keseluruhan kos operasi Perak FC kerana wang itu digunakan untuk peruntukan lain termasuk pembangunan usahawan dan membantu golongan miskin yang memerlukan.

Beliau berkata: “Rakyat kalau dapat RM500 pun sudah gembira, tapi kalau saya bantu mereka (pemain bola) sampai RM40,000, RM50,000 sebulan malahan jurulatih RM180,000 sebulan, ini tidak adil.”

Selain daripada masalah gaji pasukan utama, Utusan Malaysia juga melaporkan bahawa Perak FC II juga mengalami masalah yang sama.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril menawarkan pegangan saham kepada mana mana pihak yang berminat membantu Perak FC menyelesaikan masalah yang melanda. BOD Perak FC menyatakan langkah itu terpaksa dibuat selepas Perak FC mengalami masalah kekurangan penaja.

Gaji Februari dah setel

Dipetik dari Harian Metro, Khairul menegaskan: “Saya tawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat membantu kita khususnya untuk menjadi penaja utama, bahkan kita tiada masalah jika mereka, termasuk sebaiknya jika ada putera dari negara Arab sekalipun yang turut ingin membeli ‘share’ (pegangan saham) Perak FC.”

“Ada juga cadangan daripada peminat agar buka (tawarkan) saham kepada mereka sendiri namun pada kita ia bukan semudah yang disangka memandangkan banyak perkara perlhu diperhalusi termasuk implikasi di masa mendatang.”

“Sebelum ini banyak pihak datang kepada kita menawarkan tajaan, namun ia bukanlah penajaan tulen apabila meletakkan syarat inginkan pulangan dari pihak kerajaan negeri sebagai batu loncatan perniagaan mereka umpamanya. Pada saya itu tidak memenuhi objektif menyelesaikan masalah.”

Khairul menafikan bahawa dakwaan Perak FC menanggung hutang sebanyak RM6 juta seperti didakwa netizen. Dan berkenaan dengan tunggakan gaji, beliau menegaskan bahawa gaji Februari sudah diselesaikan semalam melibatkan RM900,000 daripada dana kerajaan negeru.

Dan Khairul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak menerangkan bahawa, pengurusan lama sebelum ini meninggalkan hutang sebanyak RM3.8 juta.

“Sewaktu mula mengambil alih Perak FC, di tangan kita sudah ada tunggakan dua bulan bernilai RM 3.8 juta daripada. Saya sebagai exco kerajaan negeri terpaksa campur tangan termasuk hutang RM3.8 juta yang kerajaan negeri bantu Perak FC selesaikan sebelum ini, itu peminat perlu ingat.”

Baca yang lain