Kylian Mbappe jujur menyatakan bahawa adalah satu pembohongan yang besar kalau dia menyatakan dia tak peduli tentang Ballon d’Or. Mbappe yakin bahawa dia antara calon pilihan untuk memenangi anugerah itu dia menamakan Karim Benzema dan Sadio Mane sebagai pesaing utamanya untuk Ballon d’Or tahun ini.
Mbappe disenaraikan dalam senarai pendek 30 pemain untuk dinamakan pemain terbaik dunia pada hari Jumaat. Pemain itu telah menjaringkan 39 gol dalam semua pertandingan ketika membantu Paris Saint-Germain memenangi kejuaraan Ligue 1 musim lalu.
Tiada pemain dalam lima liga teratas Eropah yang mampu menyamai jumlah 60 sumbangan gol Mbappe sepanjang kempen 2021-22, walaupun rakan sepasukannya di Perancis Benzema dinggap pilihan utama untuk memenagi Ballon d’Or selepas membantu Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dan LaLiga.
Benzema menguatkan lagi pengaruhnya dalam Ballon d’Or kali ini apabila membantu Real Madrid memenangi Piala Super Eropah baru baru ini.
Dalam temu bual dengan France Football, Mbappe, yang sebelum ini menyokong Benzema untuk memenangi anugerah itu, mengakui dia sendiri turut terdesak mahu dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia buat pertama kalinya dalam sejarah kariernya.
“Saya sentiasa mahu melakukannya lebih awal, tanpa mengehadkan impian dalam hidup saya. Saya mahu memenanginya dan saya tidak kisah untuk mengakuinya,” katanya.
“Saya yakin untuk menjulang [Ballon d’Or] yang pertama adalah yang paling rumit. Sebaik sahaja anda secara rasmi memasuki kumpulan itu, akan lebih mudah untuk mengesahkannya semula.”
🚨🎙Kylian Mbappe: "My top 3 for the Ballon d'Or? I would say Karim Benzema, me and Sadio Mané." @francefootball #BallondOr pic.twitter.com/Idrfl8ycg1
— RouteOneFootball (@Route1futbol) August 13, 2022
“Adalah satu pembohongan besar bahawa seorang pemain bola sepak tidak berminat dengan Ballon d’Or. Adalah hipotkrit untuk anda mengatakan begitu [tidak kisah tentang Ballon d’Or].”
“Kami semua berfikir tentang itu. Kami bercakap tentang pasukan, dan kolektif, tetapi jujur untuk mengakui bahawa kami mengambil berat [tentang Ballon d’Or].”
“Selama dua tahun saya menjadi calon sebenar untuk anugerah itu. Sebelum ini, saya berpuas hati hanya dengan berada dalam kelompok 10 terbaik. Kini, sebaliknya, saya kerap berada antara empat atau lima calon teratas.”
“Kami tidak bercakap tentang Ballon d’Or pada Januari, tetapi kami membuat ulasan apabila senarai muncul. Kemudian, apabila majlis semakin hampir, ia jelas menjadi topik perbualan dalam kumpulan. Kami membuat kumpulan kami, kami berdebat pendapat tentangnya.”
Ditanya untuk tiga teratas pilihnannya, Mbappe menyatakan bahawa dia sendiri akan berada dalam senarai itu bersama sama dengan Benzema dan Sadio Mane:
“Saya rasa Benzema, Mane dan saya,” tegas bintang PSG dan Perancis itu.
Dalam senarai 30 terakhir kali ini, agak mengejutkan apabila tiada Lionel Messi di dalamnya. Ini adalah kali pertama Messi tidak tersenarai sejak 2005.
Kylian Mbappe menyatakan bahawa Lionel Messi masih ada tekad yang kuat untuk memenangi Ballon d’Or.
Ketika Mbappe mengenang kembali detik kemenangan rakan sepasukannya di PSG tahun lalu, dia berkata, melihat kegugupan bintang Argentina itu pada malam gala itu menunjukkan bahawa keinginannya untuk menjadi yang terbaik kekal kuat.
“Pagi gala terakhir dia gugup kerana beberapa jam kemudian dia akan mengumpul Ballon d’Or ketujuh. Mungkin dia memikirkan apa yang akan dia katakan, bagaimana dia akan menjulang trofi itu,” kata Mbappe.
“Saya beritahu dia tidak mungkin gelisah selepas enam kali ke sana.”
“Tetapi itu menunjukkan bahawa dia mengekalkan jiwa seorang kanak-kanak dan dia masih teruja untuk menjadi yang terbaik. Dia tidak jemu melakukannya.”
Adakah Mbappe akan mampu menggondol anugerah Ballon d’Or pertamanya musim ini?