Mbappe Dedah Tak Mahu Bercakap Dengan Wartawan: “Kalau FFF Didenda, Saya Bayar”

Kylian Mbappe akhirnya mendedahkan bahawa sebenarnya dia sendiri yang mengelak untuk bercakap dengan wartawan sepanjang kempen Piala Dunia 2022.

Ini kerana dia tidak mahu fokusnya terganggu dengan media. Mbappe merasakan selagi lagi Piala Dunia 2022 belum berakhir, selagi itu dia akan mengelak untuk membuat sebarang kenyataan media berkaitan apa sahaja isu.

Mbappe sekali lagi dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika Perancis menyingkirkan Poland dalam aksi 16 akhir Piala Dunia. Memastikan Perancis menempah slot suku akhir berdepan England.

Wartawan akhirnya berjaya mendapatkan komen Mbappe ketika di Qatar.

Mbappe berkata: “Saya tahu ada banyak persoalan tentang kenapa saya tak nak muncul di hadapan media. Kepada semua wartawan di luar sana, saya nak katakan, saya tidak ada masalah peribadi dengan kamu semua, tiada masalah nak memboikot mana mana kamu.”

“Ianya cuma saya mahu sentiasa mahu mengekalkan fokus saya dalam pertandingan ini. Dan ketika saya fokus kepada sesuatu perkara saya perlukan fokus 100% dan tidak mahu membuang masa dan tenaga memikirkan perkara lain.”

“Itulah sebabnya saya tidak mahu mewakili pasukan saya di hadapan media.”

Mbappe sedar bahawa tindakannya mungkin akan membuatkan Persatuan Bola Sepak Perancis didenda. Ini kerana pemain dan pegawai pasukan wajib untuk hadir ke sidang media yang diminta oleh FIFA.

Mbappe menjelaskan, jika FFF didenda kerana tindakannya, dia akan membayarnya sendiri.

“Jika ianya satu kesalahan yang membuatkan FFF didenda,… saya akan bayar denda itu.”

Mbappe sebelum ini diberikan amaran oleh FIFA bahawa dia wajib untuk bercakap kepada wartawan ketika menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Selepas menerima anugerah MOTM menentang Denmark, Mbbape mengelak untuk bercakap dengan wartawan. Tindakannya itu telah membuatkan FIFA memberikannya amaran.

Mbappe berkata, dia selama ini tak tahu bahawa jika menerima MOTM Piala Dunia, pemain wajib bercakap dengan wartawan. Jika tidak, mereka akan dikenakan tindakan.

“Saya baru dapat tahu yang FFF boleh didenda jika ada pemain dan pegawai yang mengelak sidang media rasmi. Jadi, saya akan membayar denda itu.”

“Persatuan tidak berhak membayar denda itu kerana itu kesalahan peribadi saya.”

Mbappe sekali lagi tampil menjadi bintang penting Perancis. Empat tahun lalu, Mbappe menjadi nadi utama Perancis dalam kejuaraan Piala Dunia 2018. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun.

Dan kini, dia lebih matang dan lebih bertenaga. Itupun dia masih muda lagi iaitu baru 23 tahun.

Mbappe membantu Perancis mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut turut dalam 3 kempen Piala Dunia terakhir mereka. Pertama kali dalam sejarah bola sepak mereka.

Selaku juara bertahan, Perancis setakat ini telah melakukan tugas mereka sebaik mungkin dalam misi mempertahankan Piala Dunia walaupun dilanda krisis kecederaan sebelum kejohanan bermula dan ketika kejohanan berlangsung.

Baca yang lain