Mbappe Enggan Terlibat Sesi Penggambaran Pasukan Perancis Kerana Jenama Judi Dan Makanan Segera

Kylian Mbappe enggan terlibat dalam penggambaran untuk pasukan kebangsaan Perancis pada hari Isnin, kerana pertikaian mengenai hak imej terus berlarutan.

Pemenang Piala Dunia Mbappe telah dikritik kerana kelakuannya beberapa kali musim ini, hanya beberapa bulan selepas menandatangani perjanjian baharu di PSG.

Dia pada masa itu dijangka berpindah ke Real Madrid. Tetapi telah menandatangani perjanjian baharu dengan PSG, yang dilaporkan memberinya kuasa dalam cara kelab itu dikendalikan.

Musim ini dia juga telah berbalah dengan Neymar kerana penalti. Dia juga dilihat menyekolahkan Achraf Hakimi secara terbuka di hadapan kamera.

Paling tak masuk akal, namanya turut disebut oleh Abang Pogba dalam skandal pemerasan bernilai EU13 juta. Di mana Mathias Pogba menuduh Paul Pogba cemburu dengan Mbappe dan mencari bomoh agar dia menjadi sehebat Mbappe. Perkara itu dinafikan Paul Pogba yang menyatakan dia berdukun untuk tujuan melindungi dirinya daripada kecederaan semata mata.

Dengan minggu antarabangsa, pemain berusia 23 tahun itu boleh melupakan semua perkara yang remeh temeh di kelabnya dan sebaliknya menumpukan pada persiapan untuk Piala Dunia pada November akan datang.

Dan kini, menurut L’Equipe, bekas penyerang Monaco itu enggan menyertai sesi penggambaran dengan pasukan kebangsaan, atas pertengkaran mengenai hak imej.

Mbappe tak selesa

Laporan itu menyatakan bahawa ini bukan isu tentang wang, atau ketamakan Mbappe. Kerana dia tidak akan mengambil wang tajaan itu masuk ke poketnya seperti dijanjikannya.  Tetapi isu ini lebih berkaitan dengan kuasa pemain dalam mengawal imej mereka digunakan dan syarikat mana yang menaja.

Mbappe dilaporkan memulakan pemboikotan syarikat tertentu pada bulan Mac dan mahu berunding dengan FFF. Tetapi pertikaian itu belum diselesaikan.

Untuk menjelaskan lagi keadaan, Mbappe dilaporkan menolak untuk menerima tajaan daripada syarikat judi dan syarikat makanan segera. Ini kerana dia sudah bertekad untuk mendermakan seluruh wang tajaan dan bonus bersama pasukan kebangsaannya untuk kebajikan.

Dia merasa tidak selesa dengan mewakili jenama jenama tersebut sebagai atlet profesional.

Mbappe pernah menggegar FFF dengan meminta mereka mendengar suara pemain berkaitan dengan tajaan pasukan kebangsaan. Namun ianya tidak begitu diambil peduli pada masa itu. Mungkin memikirkan Mbappe masih muda. Kini dia sudah semakin berpengaruh.

Penaja utama pasukan kebangsaan Perancis termasuk Uber Eats, KFC dan Coca-Cola. Mbappe jelas sekali mahu memastikan bahawa dia mahu menjadi role model untuk anak muda di luar sana, untuk mengamalkan cara hidup sihat sebagai seorang atlet profesional.

Jadi dia tak mahu menerima tajaan daripada syarikat makanan segera. Tetapi tidak pula disebut tentang Coca Cola. Kerana sebelum ini Ronaldo pernah mengeluarkan botol Coca Cola dari atas mejanya ketika sidang media Euro 2020 sambil menyatakan bahawa air kosong adalah sihat.

Tindakan itu menyebabkan syarikat kehilangan $5.2 bilion daripada harga saham mereka pada masa itu, yang tidak akan membuatkan mereka sangat gembira sebagai salah satu penaja utama kejohanan.

FFF sudah membuat kenyataan rasmi bahawa mereka akan berunding dengan pemain senior, presiden Noël Le Graët, Didier Deschamps, dan pengarah pemasaran tentang hak imej.

Mereka bersetuju untuk mengkaji semula konvensyen berkenaan hak imej pemain pasukan kebangsaan.

Kenyataan itu dibuat susulan berita awal hari ini bahawa Kylian Mbappé akan menolak untuk mengambil bahagian dalam sesi penggambaran pasukan bagi tujuan promosi.

Penyerang Paris Saint-Germain itu sudah lama menentang penggunaan imejnya untuk mempromosikan jenama tertentu seperti laman web pertaruhan dan kedai makanan segera.

“FFF berbesar hati untuk mengusahakan garis besar perjanjian baharu yang akan membolehkannya mengekalkan kepentingannya sambil mengambil kira kebimbangan dan perkara berkaitan yang sah yang dinyatakan secara sebulat suara oleh pemainnya.”

FFF pastinya harus mengambil serius perkara ini. Kerana Perancis ada sejarah beberapa insiden di mana pemain memberontak di bilik persalinan pada kejohanan besar.

Mereka mahu mengelakkan perkara itu berulang di Qatar 2022.

Mereka kini berada di tangga terbawah kumpulan dalam Liga Negara-Negara, setelah tidak menang dalam empat perlawanan pembukaan, dan akan berharap untuk mengelak penyingkiran.

Skuad Didier Deschamps akan berdepan Austria dan pasukan di tangga teratas Denmark dalam dua perlawanan terakhir mereka sebelum Piala Dunia.

Di Piala Dunia itu nanti mereka akan berdepan Denmark sekali lagi, serta berdepan Australia dan Tunisia di peringkat kumpulan, dan merek boleh menentang Argentina pada pusingan kedua jika gagal menjuarai kumpulan.

Sebagai juara bertahan, mereka akan cuba mengelakkan sumpahan terkeluar pada peringkat kumpulan, seperti yang berlaku kepada setiap pemegang sejak 2002, kecuali Brazil.

Apa yang pasti tindakan Mbappe ini wajar disokong agar pengurusan pasukan kebangsaan harus mengambil kira suara pemain dalam penggunaan hak imej.

Baca yang lain