Kylian Mbappe dilaporkan sudah menghantar notis tuntutan rasmi kepada PSG. Di mana dia menuntut tunggakan gaji dan bonus yang masih belum dibayar kelab itu.
Tunggakan itu berjumlah €100 juta. PSG masih culas membayar tunggakan tersebut kerana menganggap mereka sudah dipermainkan Mbappe.
Gaji Mbappe masih belum dibayar sejak April sehingga Jun – tempoh akhir kontraknya. Sementara bonus kesetiaan yang dia patut dapat pula sepatutnya dia terima pada Februari. Namun haram satu sen tak masuk lagi akaun Hong Leong Bank milik Mbappe.
Kini pemain itu sudah memulakan langkah perundangan untuk menuntut wang tersebut daripada PSG. Walaupun dia masih belum lagi mahu menyaman kelab itu. Notis ini sekadar notis peringatan.
Ejen kepada Mbappe dalam tuntutannya berkata: “Artikel 259, mewajibkan kelab membayar gaji pemain seperti mana termaktub di dalam kontrak pemain selewat lewatnya pada hari terakhir setiap bulan.”
Wakil kepada Mbappe itu juga menganggap PSG sengaja tidak mahu menunaikan kewajibannya sebagai majikan seperti mana peraturan buruh yang biasa di mana mana negara.
Kenapa PSG berkeras enggan membayar?
Hal ini kerana Nasser Al Khelaifi telah masuk campur dan menghalang pembayaran gaji dan bonus ini.
Khelaifi sebelum ini kecewa dengan Mbappe yang mungkir janji. Pemain itu pernah berjanji bahawa dia tak akan sesekali meninggalkan PSG secara percuma.
Namun itu tidak berlaku. Kerana Mbappe sudah memutuskan untuk menyertai Real Madrid. Lebih gila, PSG malah menyatakan bahawa bonus kesetiaan yang bernilai sekitar €80 juta itu seharusnya dibayar oleh Real Madrid.
Hal ini kerana Mbappe dan Madrid dituduh sudah mengadakan kesepakatan di belakang PSG.
Berdasarkan peraturan Bosman, Mbappe boleh bercakap dengan mana mana kelab lain ketika kontraknya memasuki 6 bulan terakhir.
Namun PSG masih berkeras enggan menerimanya. Kerana sebelum ini mereka mengumumkan Mbappe kekal di PSG sehingga 2025.
Tetapi kontrak pemain itu sebenarnya wajib 2 tahun sahaja sehingga 2024. Sementara baki setahun lagi adalah pilihan. Dan Mbappe tidak mahu kekal di PSG setahun lagi.
PSG malah yakin mereka berhak untuk tidak membayar gaji dan bonus tersebut kerana ada unsur unsur manipulasi oleh Mbappe.