Mbappe: “Saya Dah Jumpa Griezmann, Dia Beritahu Saya Dia Sakit Hati Tak Jadi Kapten”

Kylian Mbappe berterus terang menyatakan bahawa dia sudah berjumpa Antoine Griezmann sebaik sahaja laporan menyatakan bahawa pemain itu tidak gembira tidak dipilih menjadi kapten baharu pasukan kebangsaan Perancis.

Kylian Mbappe kini rasmi menjadi kapten pasukan kebangsaaan Perancis yang baharu.

Dan pemain berusia 24 tahun itu akan dibantu oleh gandingan sensasinya, Antoine Griezmann yang menjadi timbalan ketua pasukan.

Namun terdapat berita kurang menyenangkan di sebalik pemilihan itu.

Griezmann kecewa

Griezmann dikatakan terkejut dan tidak dapat menerima Mbappe menjadi kapten berbanding dirinya.

Griezmann antara pemain paling senior dalam pasukan Perancis. Dia dikatakan sudah lama memendam harapan mahu menjadi kapten Perancis suatu hari nanti.

Ketika Lloris mengumumkan persaraannya dari peringkat antarabangsa, Griezmann benar benar berharap dia akan menjadi kapten seterusnya.

Malangnya, Didier Deschamps sudah ada pilihan tersendiri.

Berita itu membuatkan Griezmann kini sedang mempertimbangkan masa depannya bersama skuad kebangsaan Perancis.

L’Equipe melaporkan bahawa pemain itu mungkin akan menarik diri daripada skuad kebangsaan kerana kecewa.

Berita ini juga membuatkan ramai peminat yang menyokong Griezmann tampil. Menegaskan bahawa pemain itu paling berhak menjadi kapten.

Mereka juga menegaskan bahawa karier Griezmann di Perancis sudah menuju ke penghujungnya. Sedangkan Mbappe masih lagi jauh perjalanan.

Jadi adalah lebih baik untuk memberikan jawatan kapten itu kepada Griezmann pada masa ini berbanding Kylian Mbappe.

Bekas pemain antarabangsa Perancis, Robert Pires juga tak faham dengan pemilihan kapten oleh Deschamps. Kerana menurutnya, Griezmann adalah pemain paling layak.

Dia menjadi pemain paling penting pada era Deschamps di Perancis. Seolah olah Deschamps telah mengkhianati pemain tersebut yang sangat setia berjuang bersama pengurus itu.

Kualiti kepimpinan Mbappe

Deschamps kagum dengan kepimpinan Mbappe terutama sekali ketika dia di PSG.  Dia merupakan teras kepada projek sukan di kelabnya. Menjadikannya pemain paling penting di PSG ketika ini berbanding mana mana bintang lain termasuk Messi atau Neymar.

Oleh kerana dia seorang yang menekankan disipilin, Mbappe seringkali mengeluarkan kata kata semangat kepada pemain pemain lain termasuk nasihat agar pemain pemain jaga tidur dan makan.

Ketika di Perancis, Mbappe dilihat memiliki pengaruhnya tersendiri terutama sekali pada Piala Dunia 2022. Di mana pada aksi final dia membangkitkan semangat pemain pemain lain untuk bangkit dan mengikat Argentina pada final.

Agak malang kerana Perancis akhirnya kalah menerusi penentuan sepakan penalti.

Mbappe dianggap pemain muda yang sudah memiliki mentaliti elit dalam dirinya berbanding mana mana pemain lain seusia dengannya.

Lihat sahaja cara dia membangkitkan pemain pemain Perancis ketika final Piala Dunia 2022. Dia benar benar ada karakter pemimpin.

Mbappe faham kekecewaan Griezmann

Namun pemain itu akur dan sedar bahawa jika dia di tempat Griezmann, dia juga akan kecewa.

Bercakap kepada wartawan tentang perasaan Griezmann, Mbappe menegaskan pemain itu akui dia sakit hati dan marah tidak dapat menjadi kapten kerana dia pemain yang paling senior dalam pasukan.

Mbappe berkata: “Saya sudah bercakap dengan Antoine tentang perkara ini.”

“Dan dia menyatakan dia sangat kecewa dan marah tidak dipilih menjadi kapten.”

“Perkara itu sangat difahami. Saya memberitahunya, saya juga akan memberikan reaksi yang sama jika saya di tempatnya. Dia mungkin pemain paling penting pada era Deschamps.”

“Dia memiliki banyak pengalaman. Jika dia ada perkara yang nak beritahu, saya akan sedia duduk dan mendengarnya.”