Mbappe Sekolahkan Ligue 1 Tak Bagi Ben Yedder Kasut Emas Macam Di EPL

Kylian Mbappe jelas tidak gembira dengan pengumuman oleh Ligue 1 bahawa beliau menjadi pemenang kasut emas saingan musim ini.

Ligue 1 sah ditamatkan lebih awal. Dan PSG diumumkan sebagai juara. Sementara itu Kylian Mbappe pula diiktiraf sebagai pemenang kasut emas.

Ini selepas kerajaan melarang sebarang aktiviti sukan sehingga September tahun ini. Malah perlawanan di stadium kosong pun dilaporkan tidak dibenarkan di Perancis.

Namun begitu, Mbappe mahu melihat rakan sepasukan di peringkat antarabangsa beliau – Wissam Ben Yedder – juga diiktiraf sebagai penjaring terbanyak dalam Ligue 1 musim ini.

Ini kerana beliau menjaringkan jumlah gol yang sama banyak dengan Mbappe. Kedua dua pemain terikat dengan 18 gol ketika saingan berakhir. Bagi Mbappe amatlah tidak adil untuk tidak memberikan anugerah kasut emas Ligue 1 kepada Ben Yedder.

Dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka, Ligue 1 menjelaskan bahawa Mbappe diberi penghargaan kerana dia menjaringkan gol lebih banyak daripada permainan terbuka.

Jika menurut logik akal Ligue 1, jaringan penalti dan sepakan percuma adalah kurang nilainya berbanding open goal. Tak tahu ketum apa yang mereka sedang minum.

Mbappe kemudian menyekolahkan Ligue 1 agar belajar dari EPL. Di mana musim lalu ada 3 pemenang diberikan kasut emas kerana ketiga tiga mereka menjaringkan jumlah gol yang sama.

Sadio Mane, Mohamed Salah dan Pierre Emerick Aubameyang telah memenangi kasut emas tersebut. Ketiga-tiga pemain menjaringkan 22 gol pada musim lalu.

Mbappe meminta Ligue 1 memberikan kasut emas kepada Ben Yedder juga.

“Terima kasih semua untuk mesej anda,” petikan  dari tweet Mbappe sebagai respons.

“Saya rasa Wissam juga layak mendapat trofi ini, seperti yang mereka lakukan di Liga Perdana musim lalu, mereka memberi penghargaan itu pada tahun ini.”

Mbappe sah mempertahankan anugerahnya selepas memenanginya musim lalu. Di mana beliau menjaringkan 33 gol dalam Ligue 1.

Mbappe terus konsisten dari musim ke musim. Beliau sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid pada musim hadapan.

Ini selepas Zidane mendapati Mbappe adalah solusi kepada kehilangan Cristiano Ronaldo selaku peledak 30-40 gol semusim.

Buat masa ini Real Madrid hilang percikan ketajaman itu di hadapan gol.

Mbappe masih belum melanjutkan sebarang kontrak di Paris St Germain pada ketika ini. Namun PSG menyatakan keutamaan mereka adalah untuk mengekalkan Mbappe.

Dan PSG yakin mereka akan mencapai kesepakatan dengan pemain antarabangsa yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 itu.

Etika kerja Mbappe dan kematangannya membuatkan beliau menjadi antara pemain kesayangan peminat dan pemilik kelab.

Selain Mbappe, PSG bergelut dengan kontrak seorang lagi bintang mereka iaitu Neymar yang masih dikaitkan dengan Barcelona.

Neymar turut belum melanjutkan kontrak beliau di kelab yang berpangkalan di Kota Paris itu.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.