Mbappe Tolak Bergambar Untuk Penaja Pasukan Perancis Kerana Isu Moral Dan Etika

Kylian Mbappe dilaporkan tidak mahu terlibat dalam sesi bergambar untuk penaja pasukan kebangsaan. Ini telah menimbulkan ketegangan di antara Mbappe dan FFF. Lebih lebih lagi, Mbappe merupakan bintang utama Perancis pada ketika ini.

L’Équipe melaporkan bahawa Mbappe sudah memberitahu pengurus pasukan tentang kenapa dia tidak mahu memberikan komitmen kepada penaja pasukan Perancis. Mbappe menegaskan bahawa dia sudah mendapatkan nasihat daripada peguamnya untuk mengambil tindakan sebegitu.

Mbappe memutuskan untuk tidak terlibat dengan beberapa jenama penaja pasukan kebangsaan Perancis.

Penaja pasukan Perancis menyatakan kekecewaan mereka ke atas tindakan Mbappe yang tidak hadir ke sesi penggambaran komersial produk mereka. Dan sudah mengajukan aduan rasmi kepada presiden FFF iaitu Noel Le Graet.

Le Graet kemudian bersemuka sendiri dengan Kylian Mbappe dan meminta pemain muda Perancis itu mengubah fikirannya dan terlibat dalam hak imej bersama penaja pasukan kebangsaan.

Menurut ejen Mbappe, pemain itu tidak mahu lagi sewenang wenang membenarkan imejnya digunakan untuk beberapa jenama tertentu kerana isu moral dan juga etika.

Mbappe hanya akan terlibat dengan beberapa kempen atau jenama atas sebab kebajikan sahaja. Selain itu dia akan menolaknya. Buat masa ini, Volkswagen, Uber Eats, Orange, Xbox, Coca-Cola dan Konami merupakan antara jenama yang menaja pasukan kebangsaan Perancis.

Selain daripada itu, Mbappe turut mempersoalkan pengurusan kewangan FFF berkaitan dengan pembahagian wang hasil daripada tajaan seperti itu.

Mbappe meminta FFF menyusun semula pembayaran bonus dan mekanisme yang digunakan.

Mbappe mahukan lebih ketelusan dan transparensi dalam butiran kewangan. Mbappe mahu melihat wang tersebut digunakan lebih banyak untuk bola sepak akar umbi dan bukannya sekadar masuk poket orang orang tertentu.

Selain itu Mbappe tidak mahu dikaitkan dengan beberapa jenama yang tidak menggambarkan cara hidup sihat seorang atlet. Beberapa laporan di Perancis menyebut jenama itu sebagai Coca Cola.

Seterusnya Kylian Mbappe juga dikatakan terpaksa menolak bergambar untuk kempen Konami kerana dia adalah duta rasmi permainan FIFA 22 dan merupakan penghias muka hadapan permainan video bola sepak keluara EA Sports itu.

Peguam Mbappe, Delphine Verheyden turut mempersoalkan tanggungjawab pemain ke atas penaja pasukan kebangsaan. Adakah mereka diwajibkan untuk memberikan komitmen? Walaupun mereka tidak mahu menyokong beberapa jenama yang dianggap bertentangan dengan prinsip mereka?

FFF akan mengadakan perbincangan dengan Mbappe untuk mencari kata sepakat dengan pemain itu. Hal ini kerana tindakan Mbappe itu boleh membuatkan penaja terluka dan berkecil hati dan menarik sejumlah tajaan mereka.

Lebih menarik beberapa bulan lalu PSG menggunakan Mbappe sebagai salah satu cara mereka menutup boot Messi untuk kempen komersial Nike Air Jordan yang merupakan penaja rasmi jersi PSG.

Mungkin kerana perkara ini melibatkan Mbappe membuatkan FFF tidak mengambil tindakan serta merta ke atas pemain itu.

Mbappe telah menjadi nadi pasukan Perancis sejak beberapa tahun ini. Pada usianya 23 tahun, Mbappe sudah membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 2018 yang lalu.

Mbbape kini bersama skuad antarabangsa Perancis untuk minggu antarabangsa selepas minggu minggu sukar di PSG.

Di mana PSG disingkirkan dari UCL dan kemudian dicemuh penyokong sendiri dalam aksi domestik.

Mbappe masih belum memberikan komitmen untuk PSG dan sudah sedia meninggalkan pasukan itu secara percuma pada jendela perpindahan yang akan datang.

Real Madrid antara pasukan yang terus dikaitkan dengan pemain penyerang sayap antarabangsa Perancis itu. Prestasi Mbappe yang cemerlang membuatkan PSG terus berusaha mahukan pemain itu kekal bersama mereka. Ini termasuk menawarkan gaji tertinggi di dunia kepada Mbappe.