MCMC: Pengguna Booster Dan Repeater Internet Tanpa Kebenaran Boleh Didenda RM500,000

Share on facebook
Share on twitter

Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan kepada orang ramai yang menggunakan booster ataupun repeater rangkaian selular.

Berikut kenyataan MCMC:

Pemakluman Garis Panduan Bagi Tujuan Membeli, Menggunakan Dan Memiliki Booster Atau Repeater Selular

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan peningkatan kes gangguan spektrum yang melibatkan penggunaan Booster atau Repeater Selular (CBR) yang tidak mematuhi piawaian. CBR ialah alatan rangkaian mudah alih yang menambah kekuatan isyarat daripada stesen pemancar dan juga peranti mudah alih.

Bagaimanapun, penggunaan alatan CBR oleh orang ramai dan syarikat penyedia perkhidmatan secara berleluasa dan tidak teratur akan menyebabkan gangguan terhadap kualiti rangkaian selular dan jalur lebar mudah alih.

Bagi membendung masalah ini, MCMC telah mengeluarkan Garis Panduan Pembelian, Penggunaan dan Pemilikan Booster atau Repeater Selular yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membeli sebarang alatan CBR daripada sumber tidak berdaftar, sebaliknya hanya mendapatkan alatan tersebut daripada syarikat penyedia perkhidmatan selular yang sah.

Kegagalan mematuhi garis panduan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atau Peraturan 16 di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika menghadapi masalah liputan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat aduan kepada syarikat penyedia perkhidmatan mereka melalui saluran rasmi yang disediakan. Sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian oleh syarikat penyedia perkhidmatan, mereka boleh mengajukan aduan kepada MCMC.

Klik di sini untuk Garis Panduan Bagi Tujuan Membeli, Menggunakan Dan Memiliki Booster Atau Repeater Selular

Nota editor: Di atas adalah kenyataan rasmi MCMC.

Baca yang lain