Media Thailand Kecewa Ekanit Panya Tolak Main Piala Asia Kerana Kelab

Bintang Thailand, Ekanit Panya dilaporkan telah meminta agar namanya digugurkan daripada skuad Thailand yang akan bermain di Piala Asia 2023.

Ekanit Panya mahu menumpukan kepada aksi pra musim bersama kelab baharunya, Urawa Red Diamond di Liga J.

Ketua Jurulatih Thailand, Masatada Ishii telah memberikan keizinan kepada Ekanit Panya dan memanggil Picha Utra untuk menggantikan pemain itu.

Tindakan Ekanit itu mengundang kritikan daripada media dan peminat di Thailand. Di mana mereka menuduh pemain itu sebagai tidak patriotik.

Ada juga yang menyindir: “Betapa tak serius Thailand dengan Piala Asia ni.”

Kemudian ada juga yang geram dan berkata: “Jika saya adalah jurulatih Thailand, jangan harap saya akan panggil namanya lagi untuk mewakili negara – selamanya.”

Seorang lagi berkata, ini penyakit di dalam bola sepak Thailand yang digelar Thailand Star Syndrome Generation. Di mana pemain pemain generasi baharu yang merasakan diri mereka bintang tidak akan mengutamakan panggilan kebangsaan.

Seorang peminat dari Indonesia mengingatkan: “Kalau ini berlaku di negara Indonesia, pemain ini akan dihentam dengan komen kecaman untuk seumur hidupnya.”

Ekanit Panya dianggap bintang penting dalam skuad Thailand hari ini. Pada Disember lalu dia menjadi pemain ASEAN pertama yang didaftarkan dalam aksi Piala Dunia kelab.

Dalam edisi Piala Asia kali ini, Thailand diletakkan dalam kumpulan F bersama sama dengan Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman.