Melankolik Kasih Passarella Kepada Ortega, Seperti Sayangnya Kepada Mendiang Anaknya

Bagi peminat bola sepak generasi hari ini mungkin ramai tak kenal ataupun ambik kisah akan nama ini. Namun jika anda peminat bola sepak era 90-an, tidak kisahlah, awal ataupun lewat – membawa ke selepas millenium, nama ini pastinya tidak asing.

Tidak apa, anda pernah dengar atau tidak, biar saya ceritakan sedikit tentang Ariel Ortega.

Ortega turut menyertai skuad Piala Dunia Argentina dalam 3 edisi iaitu 1994, 1998 dan 2002.

Pada 1998, beliau menjadi nadi penting pasukan sebagai perancang utama pasukan. Namun ketika suku akhir, Ortega telah menerima kad kuning kerana diving.

Selepas itu beliau menghantuk Edwin Van Der Sar selepas kedua dua mereka berperang mulut kerana aksi diving tadi, dan beliau diarahkan keluar padang.

Selang beberapa minit selepas Ortega dibuang padang, Dennis Bergkamp menjaringkan gol cantik yang menyingkikan Argentina.

Pada temasya Piala Dunia 2002, beliau juga terlibat. Namun Argentina tersingkir daripada peringkat kumpulan.

Ariel Ortega: No.10 Argentina

Dalam pasukan Argentina, bukan semua orang boleh memakai jersi keramat no.10. Kerana ia simbol kepada playmaker lincah seperti Maradona dan hari ini Lionel Messi adalah gambaran terbaik. Namun di sebalik sejarah pemakai jersi no.10 itu, ada nama Ariel Ortega.

Antara kejayaan besar beliau adalah menjadi nadi penting River Plate mencetak kejuaraan 4 Apertura pada awal 90-an termasuk kejuaraan dengan rekod Invincibles pada 1994.

Ketika itu River Plate diuruskan oleh Daniel Passarella. Ariel Ortega adalah permata yang digilap Passarella. Kedua-dua mereka kemudian saling melengkapi.

Ariel Ortega pada masa itu baru berusia 20 tahun. Kehebatan beliau di peringkat domestik membuatkan nama Ortega dinaikkan dengan cepat ke dalam pasukan kebangsaan Argentina.

Pada 1994, Ortega dipanggil untuk mewakili Argentina dalam temasya Piala Dunia.

Pada 1996, Ortega dan River Plate menjulang Copa Libertadores. Tahun yang sama beliau dikalungkan pingat Perak Sukan Olimpik.

Ortega Ke Eropah

Selepas menjadi antara bakat elit di Argentina, tawaran kepada beliau mencurah-curah termasuk dari Eropah. Selepas kejuaraan Copa Libertadores, Ortega terus menyertai Valencia pada 1996.
Namun ketika itu Ortega tidak sehaluan dengan pengurus Claudio Ranieri. Ortega menghantar transfer request kepada kelab kerana kecewa tidak banyak beraksi.

Beliau hanya bermain 1 setengah musim dengan Valencia dan menyertai Sampdoria dengan yuran perpindahan £8 million juta pada 1998. Ortega dibeli untuk menngantikan Juan Sebastian Veron. Namun aksi beliau di Eropah tidak seperti di Argentina.

Malangnya ketika di Sampdoria beliau gagal memberikan aksi yang diharapkan. Beliau antara punca kepada pemecatan Luciano Spalletti yang mengharapkan Ortega memberikan impak.

Ketika di Eropah beliau mulai hanyut dengan kemewahan dan kegemilangan. Kerap berpeleseran dan berpesta dengan alkohol. Sampdoria tersingkir ke Serie B dan Ortega dijual ke Parma kerana mustahil untuk kelab menampung gaji beliau.

Ortega bermain bersama rakan senegara iaitu Hernan Crespo. Sekali lagi beliau dibeli untuk menngantikan Sebastian Veron yang pergi ke Lazio. Parma membayar £9.4 juta untuk perpindahan beliau.

Namun malangnya, Ortega gagal untuk menyerlah. Parma berhutang dengan River Plate – tak mampu bayar yuran perpindahan Hernan Crespo.

Dan Ortega diserahkan ke River Plate sebagai ganti. Kepulangan ke River Plate menyaksikan Ortega kembali kepada prestasi terbaik beliau. Ortega menjadi nadi penting River Plate memenangi Clausura pada 2002.

Selepas aksi cemerlang dengan River Plate, Ortega kemudian menjadi perhatian kelab Eropah dari Turki iaitu Fenerbache. Ortega menyertai Fenerbahce pada 2002 dengan perpindahan sekitar $7.5 juta. Sejumlah $2.5 juta milik Parma.

Namun kali ini Ortega membuat hal sekali lagi – boleh dikatakan masalah paling besar dalam karier beliau. Ortega menjadi pemain penting Fenerbahce.

Selepas satu perlawanan di antara Argentina dan Belanda, Ortega tidak mahu pulang ke Turki untuk melapor diri.

Fenerbahce membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana Ortega melanggar kontrak. Ortega diarahkan membayar $11 juta kerana isu tersebut.

Ortega gagal membayar dan akibatnya, Ortega digantung 19 bulan daripada bola sepak di semua peringkat sekalipun. Namun selepas membuat rayuan pada Julai 2003, hukuman diringankan kepada gantung 4 bulan sahaja.

Ortega kemudian kembali semula ke Argentina menyertai Newells Old Boys yang membayar sejumlah wang kepada Fenerbahce. Pada 2006, beliau menghadapi masalah alcoholic yang kritikal.

Diambil semula Passarella

Daniel Passarella yang kembali melatih River Plate telah membawa pulang anak buah kesayangannya itu ke kelab tersebut. Namun pada Januari 2007, doktor River Plate mengarahkan beliau meneruskan rawatan ketagihan alkohol di Buenos Aires dan terpaksa berehat daripada bola sepak.

Selepas selesai rehabilitasi ketagihan alkohol, Ortega kembali semula ke lapangan bola sepak. Wartawan bertanya kepada Passarella, kenapa beliau sanggup mengambil Ariel Ortega kembali sedangkan tahu pemain itu ada masalah alkohol dan disiplin.

Semangat Sebastian disemat dalam pasukan

Passarella berkata beliau teringatkan mendiang anak lelakinya setiap kali melihat Ortega. Anak lelakinya, Sebastian terlibat dalam nahas jalanraya pada 1995.

Daniel Passarella pernah membentuk pasukan Argentina dengan semangat Sebastian. Beliau mahu membawa Argentina setinggi yang boleh demi anaknya itu. Di kem Argentina beliau melayan semua pemain-pemain seperti anak lelakinya.

Dan Passarella pernah mengarahkan semua pemain yang mewakili Argentina – dilarang berambut panjang. Antara pemain yang akur ialah Gabriel Batistuta. Passarella mahu para pemain lebih berdisiplin ketika dengan pasukan kebangsaan.

Tegasnya sifat seorang ayah dalam kem Argentina apabila Passarella memberikan arahan kepada Fernando Redondo agar memotong rambutnya ataupun tidak beraksi dalam Piala Dunia 1998.

Redondo enggan berkompromi dan berkata beliau lebih sanggup menonton piala dunia di atas kerusi di rumahnya daripada menurut kehendak Passarella. Redondo pemain yang sangat berbakat. Boleh dikatakan dia pemain tengah Argentina paling on form masa tu.

Dan permintaan Redondo ditunaikan. Pada 1998, Argentina tidak membawa salah seorang pemain tengah terbaik ketika itu. Tetapi tak mengapa Argentina tetap memiliki skuad yang hebat dengan nama seperti Batistuta, Veron, Ariel Ortega Claudio Lopez, Diego Simeone dan Roberto Ayala.

Ramai peminat Argentina sehingga sekarang masih marah dengan Passarrela sebab menyisihkan Redondo hanya kerana rambutnya persis Wan Rohaimi masa muda.

Tengok la pesen Argentina masa ni, semua gunting budak SMK risau kena roadblock perhimpunan.

Bagi Passarella, connection antara beliau dan Ortega lebih daripada antara pemain dan jurulatih.

Ortega juga orang yang memberikan kegemilangan kepada karier awal beliau ketika menejadi pengurus River Plate dan kemudian Argentina pada 1994. Ortega pemain yang paling rapat dengan beliau dan sentiasa sedia berperang demi beliau.

Ketika di River Plate, staf dan para pemain membantu Ortega untuk pulih daripada masalah alkohol. Bagi Passarella beliau mahu Ortega terus bermain bola sepak untuk mengatasi dan melupakan ketagihannya kepada alkohol.

Passarella menjadi bahan kritikan para penyokong dan juga media. Namun para doktor sukan di Argentina yang menganggap Passarella melakukan perkara terpujil dalam membantu Ortega keluar daripada masalah tersebut.

Fasa akhir karier

Tidak lama selepas Passarella dipecat dan digantikan dengan pengurus muda Diego Simeone. Ortega dipinjamkan ke beberapa kelab. Dan pada akhir tahun 2012, beliau memutuskan untuk bersara.

River Plate memberikan penghargaan kepada beliau dengan perlawanan testimonial. Dalam perlawanan itu anaknya berusia 12 tahun berjaya menjaringkan gol yang dicipta oleh Ortega. Menangis Ortega melihat detik tersebut.

Itulah kisah Ortega. Pemain yang berbakat namun dihantui dengan isu disiplin. Namun beliau tetap bertuah kerana adanya pengurus seperti Passarella yang ibarat ayah kepadanya. Tidak jemu untuk terus membimbingnya.

Sebenarya memang ramai pemain latin no.10 masa tu ada masalah disiplin sebab mereka terlalu berbakat terutama sekali dari Brazil dan Argentina.

Jadi Ortega antara pemakai no.10 tipikal diva latin. Apapun dia tetap legenda!

Baca yang lain