Pada beberapa hari lepas, pemain tengah Newcastle United, Ki Sung Yueng telah dilepaskan dari kontrak secara persetujuan bersama.
Bermakna pemain ini sudah menjadi ejen bebas. Kenapa kelab memutuskan untuk membebaskannya dari kontrak, dan mengapa Ki bersetuju?
Premeir League hanya benarkan 25 pemain didaftar
Pada setiap awal musim, semua kelab di Premeir League akan mendaftarkan 25 pemain. 3 darinya adalah penjaga gol.
Daripada 25 nama pemain tersebut, 8 darinya haruslah berstatus homegrown. Homegrown bermaksud pemain yang telah berlatih atau bermain di England selama 3 tahun berturut-turut sebelum umur yang ditetapkan.
Pasukan boleh mengubah nama pemain ketika jendela perpinfahan pertengahan musim dengan mengeluarkan atau membawa masuk nama baru.
Dalam kes Newcastle United, kelab telah mendaftar 25 pemain pada awal musim. Ki salah satu nama yang didaftarkan.
Ketika jendela perpindahan pertengahan musim, Newcastle United telah membawa masuk 3 pemain baharu.
Valentino Lazzaro, Nabil Ben Talib dan Danny Rose. Kesemuanya dibawa masuk atas terma pinjaman atau pemain yang dipinjamkan.
Nama ketiga-tiga pemain ini didaftarkan untuk bermain di Premier League pada baki musim.
Sementara itu 2 pemain yang dipinjamkan keluar oleh kelab telah tamat tempoh pinjaman dan kembali ke kelab. Mereka adalah Rolando Aaron dan Liam Gibson.
Jack Colback mengalami kecederaan panjang dan tidak didaftarkan sejak awal musim lagi.
Secara keseluruhan, Newcastle United telah mempunyai 31 nama dalam skuadnya (termasuk Sean Longstaff yang sebenarnya boleh diletakkan namanya dalam skuad B-23 tetapi didaftarkan di dalam skuad utama).
Newcastle United lakukan perubahan pendaftaran
Lazzaro, Ben Talib dan Rose dimasukan dalam senarai daftar baru. Siapa 3 nama yang dikeluarkan.
Jetro Willems dan Paul Dummett mengalami kecederaan dan perlu tempoh masa yang panjang untuk kembali bermain.
Kedua-dua nama pemain ini dikeluarkan dari senarai. Sementara itu satu nama pemain lagi perlu dikeluarkan.
Ya, Ki Sung Yueng.
Menurut beberapa laporan, pada awalnya kelab mahu meminjam keluar Christian Astu bagi mengimbangi kehadiran 3 pemain baharu tersebut.
Bagaimanapun tiada kelab yang sanggup membayar gaji pemain itu jika mahu meminjamkannya. Newcastle United mungkin tidak mahu membayar gaji pemain ini jika dia dipinjamkan keluar.
Willems, Dummett dan Ki keluar. Lazzaro, Ben Taleb dan Rose masuk ke dalam senarai 25 pemain.
Colback kekal tidak disenaraikan. Gibson dan Aaron dilaporkan berjaya dipinjamkan keluar semula selepas pulang dari tempoh pinjaman.
Mengapa Ki Sung Yueng bersetuju
Walaupun Ki masih tidak mempunyai kelab yang mahu disertainya, tetapi pemain ini sedar namanya bakal dikeluarkan dari senarai 25 pemain.
Dia boleh terus kekal tanpa bermain dan terus mendapat gaji pada setiap minggu. Ki bercakap kepada nufc.co.uk,
“Saya sentiasa berterima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh peminat”
“Ia merupakan satu penghormatan yang hebat untuk bermain dengan kelab seperti Newcastle.”
“Saya tidak akan melupakan kenangan bersama para penyokong kelab ini. Tetapi malangnya saya tidak dapat melakukan dengan lebih baik”
“Dalam bola sepak kadang-kadang ada perkara yang saya tidak dapat lakukan. Terima kasih kepada semua”.
Newcastle United mengucapkan terima kasih kepada Ki sepanjang dia berada di kelab dan mengharapkan masa depan pemain ini terus berjaya.
Walaupun peluang Ki untuk terus bermain di Premier League agak sukar kerana jendela perpindahan hampir tamat tetapi dengan status ejen bebas dia berpeluang kembali ke Asia atau mana-mana liga yang belum bermula.
Di Asia terutamanya di J.League dan K-League, jendela perpindahan masih lagi terbuka luas.
Rumusan
Apabila dilihat kepada pendaftaran pemain di Premeir League ianya tidak terlalu jauh berbeza dengan Liga Super Malaysia.
Perlu mendaftarkan 25 pemain dan di sana pemain B-23 tahun boleh bermain bila-bila masa apabila dipanggil bermain oleh skuad utama.
Majoriti kelab yang mempunyai pemain berusia B-23, namanya tidak akan didaftarkan dalam skuad utama tetapi meletakan nama pemain itu di skuad B-23.
Cuma mereka perlu mengimbangi jumlah pemain yang berusia atas 23 tahun supaya tidak melebihi dari angka 25 orang.
Dari 25 pemain itu mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya 8 pemain berstatus homegrown.
Di Liga Super, pemain Piala Presiden (B-21) juga boleh dipanggil pada bila-bila masa apabila skuad utama mahu menggunakannya.
Cuma jumlah pemain yang boleh didaftarkan pada skuad utama -yang berusia lebih dari 21 tahun- lebih ramai.
Melihat kepada jumlah perlawanan kompetitif diantara Premeir League dan Liga Super Malaysia sangat jauh berbeza.
Tetapi mereka boleh bermain dengan menggunakan kurang pemain berbanding kita.
Adakah kita perlu menghadkan kepada 23 pemain boleh daftar di skuad utama bagi membolehkan pemain terus aktif bermain?