Menerusi Wawancara TV Indonesia: Tyson Nafikan Memeluk Islam Ketika Di Penjara, Sebaliknya Sudah Dapat Hidayah Sebelum Dipenjara Lagi

Legenda tinju dunia Mike Tyson mengaku telah memeluk Islam sebelum beliau masuk penjara pada tahun 1992.

Ia sekaligus menafikan khabar angin selama ini menyatakan beliau memeluk Islam ketika di dalam penjara.

Selama ini banyak portal melaporkan Tyson mendapat hidayah ketika di balik tirai besi.

Menurut Tyson, disumbat ke dalam penjara adalah salah satu pengalaman gelap dalam kehidupan Iron Mike.

Kejadian itu bermula dengan tuduhan merogol Desiree Washington, seorang peserta Miss Black America pada tahun 1991.

Setelah hampir setahun di mahkamah, Tyson didapati bersalah melakukan pemerkosaan dan dua tuduhan tingkah laku gangguan seksual.

Kes tersebut mengakibatkan Tyson dijatuhi hukuman enam tahun penjara.

Sejumlah media mengatakan Tyson memeluk Islam ketika berada di penjara dan menggunakan nama Malik Abdul Aziz.

Walaubagaimanapun, Tyson menafikannya.

Dalam segmen Life Lesson from The Champ di Mola TV Indonesia, Tyson mengakui bahawa dia telah menjadi seorang Muslim sebelum masuk penjara.

Tyson ditanya oleh Susi Pudjiastuti, Mantan Menteri Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia, tentang pengalaman hidup di penjara.

“Tidak ada yang sukar atau apa-apa yang menarik mengenai perkara itu. Ia seperti permainan kanak-kanak, tidak ada yang menarik bagi saya,” kata Tyson.

“Saya pernah mengalami lebih teruk lagi, jadi saya tidak terkejut. Saya masuk penjara, tidak ada yang berlaku kepada saya, tidak ada siapa yang akan memukul saya, tidak ada siapa yang mahu membunuh saya, tidak seperti itu.”

“Dan penjara juga memahami saya. Jadi saya berada di sana selama tiga tahun rasanya seperti bercuti,” sambungnya lagi.

Tyson tidak pernah menyesal masuk penjara. Dia menganggap apa yang telah berlaku sebagai ada hikmah dalam hidupnya. Tidak lama setelah menghirup udara bebas, Tyson masuk Islam.

“Itu adalah berkat bagi saya untuk masuk penjara. Itu adalah salah satu perkara terbaik dalam hidup saya,” kata Tyson.

“Itu tidak benar [saya memeluk Islam ketika di penjara]. ”

“Saya sudah mendalami dan belajar Islam sebelum masuk penjara lagi.”

“Jadi itu [khabar tentang saya mendapat hidayah dan masuk Islam ketika di penjara] adalah tidak benar. Pandangan saya tetap sama [terhadap Islam].”

“Saya percaya dengan kepercayaan saya. Saya seorang Muslim.”

Tyson menjadi petinju kelas berat yang sangat hebat satu ketika dahulu. Beliau memenangi Tali pinggang WBA, WBC dan IBF ketika kegemilangannya.

Tyson memiliki rekod kemenangan 50 kali dengan 44 daripadanya adalah TKO dan lima kekalahan – yang kebanyakannya dialaminya ketika akhir kariernya.

 

Baca yang lain