Mengejutkan! Gaji Cassio Di Kelantan Lebih Besar Daripada Donny Van De Beek Di Ajax

Baru baru ini kita digemparkan dengan berita tunggakan gaji melibatkan Cassio De Jesus oleh pasukan Kelantan FA.

Dipetik dari laman La Bola Malaysia mendedahkan bahawa, Cassio menyatakan bahawa beliau ada tunggakan 5 bulan gaji dengan KAFA.

Lantas beliau terpaksa meninggalkan pasukan Kelantan.

Menurut La Bola:

Situasi di kem Kelantan nampaknya lebih parah daripada disangka apabila pemain import Cassio Franscisco meninggalkan pasukan, dengan mendakwa gajinya sudah lima bulan tidak dibayar, selain terdapat tunggakan musim 2018 yang dibuat tak endah.

Walaupun Yusri Che Lah cuba menyatakan keadaan terkawal dan tidak seperti digembar gemburkan oleh penyokong, luahan Cassio membuktikan sebaliknya.

“Bukan saya ingin keluar tetapi keadaan kewangan pasukan ini mendesak saya untuk keluar. Saya telah memberi tempoh masa lama dan menunjukkan sikap professional tetapi ini bukan cara sebuah pengurusan professional. Saya berterima kasih kepada penyokong yang telah memberi saya sokongan, pada akhirnya sokongan sahaja tak cukup untuk seorang pemain meneruskan karier. Saya harap mereka akan bangkit kerana mereka sebuah pasukan yang bagus, terima kasih atas semua kenangan.”

Dengan keluarnya Cassio, maka Kelantan sudah tiada pemain import dan berdasarkan perkembangan semasa di kem mereka yang menyaksikan Flavio Beck dan David Rowley juga telah keluar manakala Damien Lim ditamatkan pinjaman, apakah ini bermaksud keadaan masih terkawal di kem Kelantan.

Cassio dilaporkan akan menyertai Terengganu FC tatkala jendela perpindahan kedua ditutup.

Terbaru Harian Metro menyatakan jumlah tunggakan gaji oleh Cassio De Jesus bersama pasukan Kelantan adalah RM629,620.28.

Tahukan anda bahawa gaji itu jauh lebih tinggi daripada gaji pemain yang dianggap paling berharga di Eredivisie?

Dalam beberapa musim ini kesatuan pemain di Eredivisie telah memperjuangkan hak gaji yang lebih tinggi daripada kelab mereka.

Ini kerana liga Belanda tersebut telah menjadi liga yang sangat rendah gajinya. Jurang yang terlalu jauh membuatkan ramai pemain angkat kaki ke kelab Eropah lain.

Sebenarnya pada 2014, gaji purata pemain di Eredivisie adalah €355,000 setahun.

Pada 2016, Eredivisie telah menyaksikan penurunan purata gaji pemain mereka kepada €266,000 setahun. Ini selepas liga mereka berdepan dengan krisis kewangan.

Dan banyak kelab melepaskan pemain gaji mahal serta  menstrukturkan semula kontrak pemain.

Pada hari ini dilaporkan angka itu masih di paras €300,000 setahun.

Laman transfrmarkt mengiktiraf, Donny Van De Beek sebagai pemain paling berharga di Liga Belanda pada ketika ini selepas Matthijs De Ligt, dan De Jong meninggalkan liga mereka.

Selepas ini Hakim Ziyech pula pergi ke Chelsea.

Tetapi pada kontrak semasa sehingga 2022, Donny Van De Beek hanya menerima €5,000 seminggu. Beliau merupakan pemain yang menarik minat pasukan seperti Real Madrid, Man United, Barcelona dan banyak lagi.

Ini selepas aksi cemerlangnya musim lalu membantu Ajax sehingga ke separuh akhir UCL.

Gaji itu lebih rendah daripada apa yang diterima oleh Cassio De Jesus bersama Kelantan. Di mana Cassio menerima €6,500 seminggu ataupun €26,000 sebulan bersamaan dengan €312,000 semusim.

Gaji beliau yang tertunggah pula adalah 5 bulan bersamaan dengan €130,000 sekitar RM620,000.

Selain daripada Van De Beek, gaji Cassio di Kelantan lebih tinggi daripada Bruno Varela di Ajax yang menerima €6,000 seminggu.

Perkembangan berkaitan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah merayu daripada para jutawan negeri kelahiran mereka untuk tampil membantu pasukan The Red Warriors bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain import mereka.

Dengan berbaki dua hari lagi, dengan wang terkumpul hanya kira-kira RM13,000 sedangkan tunggakan gaji pemain import berjumlah lebih RM600,000.

Tabung awam yang dilancarkan Kafa sejak 9 Mei lalu dilihat kurang mendapat sambutan terutama daripada individu bergelar jutawan atau hartawan Kelantan.

Golongan tersebut buat masa ini tidak begitu berminat untuk membantu meringankan bebanan hutang KAFA.

Lantas Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman menyatakan bahawa pihak Beliau sudah menghubungi beberapa individu berpengaruh dan bergelar jutawan supaya dapat menghulurkan sumbangan bagi membayar tunggakan gaji berkenaan.

Namun Hussin Deraman menegaskan, setakat ini respon yang diberikan agak mengecewakan. Malah ada di kalangan jutawan dan hartawan tersebut yang tidak berminat langsung dengan usaha menyelamatkan pasukan Kelantan.

Hussin memberikan bayangan bahawa pasukan Kelantan kini diambang untuk lenyap daripada bola sepak Malaysia jika hutang tersebut tidak dibayar.

Malah harapan mereka kini adalah pada keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Mereka berharap CAS dapat memihak kepada Kafa dengan memberikan penangguhan sementara pembayaran itu.

Dipetik dari Harian Metro, Hussin Deraman berkata: “Sejujurnya saya beritahu setakat ini sumbangan daripada individu jutawan atau hartawan kurang malah apabila kita berjumpa mereka mengharapkan dapat membantu namun sehingga hari ini tidak memberikan maklum balas.

“Saya akui memang Kelantan terkenal dengan ramai jutawan dan usahawan namun jika mereka tidak mahu menghulurkan sumbangan, Kafa tidak boleh paksa kerana itu adalah hak masing-masing.”

“Sememangnya Kafa ketika ini melalui situasi sukar dan akan meneruskan kutipan derma bagi memastikan dapat mengumpul jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang itu,” katanya lagi.”

Sebelum ini, Kafa terpaksa memohon sumbangan orang ramai khususnya penyokong setia skuad The Red Warriors. Malang sekali kutipannya setakat ini hanya RM13,000 dan masih jauh daripada angka tunggakan gaji Cassio Francisco De Jesus.

Di mana tunggakan tersebut adalah RM629,620.28. KAFA diberikan tempoh selama sebulan untuk menyelesaikan tunggakan tersebur oleh FIFA.

Tarikh akhir bayaran adalah pada 23 Mei ini.

Rujukan tambahan

NEWS.NL

Sillyseason

Transfermarkt