Mengenang Kembali Kisah Fabrice Muamba ‘Meninggal’ Selama 78 Minit

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Euro 2020 diantara Denmark dan Finland, satu tragedi mengejutkan berlaku. Pada minit ke-42, perancang utama Denmark, Christian Eriksen secara tiba-tiba rebah di atas padang.

Perlawanan diberhentikan, pihak medik dipanggil untuk membantu Eriksen yang ketika itu masih tidak sedarkan diri. Pihak medik melakukan bantuan pernafasan untuk membantu Eriksen sambil pemain Denmark mengelilingi beliau.

Dilaporkan keadaan sudah Eriksen telah kembali stabil dan UEFA mengumumkan bahawa perlawanan tersebut disambung semula dan berakhir dengan kemenangan 1-0 kepada Finland.

Itu bukan insiden pertama yang berlaku dalam perlawanan bola sepak. Antara kisah terkenal ialah insiden yang menimpa bintang Bolton Wanderers, Fabrice Muamba.

Muamba Tiba-Tiba Tumbang

Pada 17 Mac 2012 berlangsung perlawanan suku akhir Piala FA diantara Tottenham Hotspurs dan Bolton Wanderers di White Hart Lane.

Perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-43 apabila pemain tengah Bolton, Fabrice Muamba rebah tanpa ada pemain lain di keliling beliau.

 

Rafael van der vaart antara yang pertama menyedari insiden tersebut dengan tergesa-gesa memanggil bantuan dari luar padang.

Stadium yang ketika itu bising dengan sorakan penyokong kedua-dua pasukan tiba-tiba diam. Pihak medik dengan pantas masuk ke padang untuk memberi bantuan pernafasan.

Disyaki Muamba mengalami cardiac arrest. Medik memberikan bantuan oksigen dan CPR kepada pemain Bolton itu dan cuba menyedarkan semula Muamba menggunakan defibrilator.

2 kali renjatan diberikan namun tiada sebarang respon. Muamba turut diberikan satu lagi renjatan ketika di dalam terowong. Tiada kesan yang memberangsangkan.

Ambulans dipanggil dan beliau dikejarkan ke London Chest Hospital. Dalam perjalanan, Muamba diberi lagi 12 renjatan defibrilator untuk meningkatkan peluang untuk selamat.

Doktor mengesahkan bahawa jantung Muamba berhenti berdenyut selama 78 minit, 48 minit di atas padang dan perjalanan ke hospital, 30 minit selepas itu.

Muamba Kembali Sedar

Muamba kembali sedar pada hari Isnin setelah insiden tersebut. Beliau masih mengenali tunangnya, Shauna Magunda, dan bertanya mengenai anak mereka, Joshua.

Dalam beberapa jam, beliau telah bercakap dengan rakan sepasukan dan menyatakan rasa kecewa kepada ayahnya bahawa kejadian yang menimpanya itu menyebabkan perlawanan ditangguhkan.

Menjelang Selasa, Muamba menyatakan dirinya “baik-baik saja”, tetapi dia masih dalam rawatan intensif di London Chest Hospital dan menurut keluarganya, masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya.

Apa itu Cardiac Arrest?

Cardiac arrest, yang dialami Muamba, jauh berbeza dengan serangan jantung.

Serangan jantung biasanya disebabkan oleh penyakit koronari jantung di mana arteri yang membekalkan darah ke jantung tersumbat dengan lemak, kolesterol atau bahan lain yang dipanggil plak.

Cardiac arrest pula boleh menyerang apabila berlaku gangguan terhadap sistem elektrik jantung, ia menyebabkan denyutan jantung menjadi tidak seragam dikenali sebagai aritmia.

Gangguan aritmia ini menyebabkan jantung berdenyut dalam keadaan yang pelbagai sama ada terlalu cepat, perlahan mahupun tidak seragam.

Ada aritmia yang menyebabkan jantung berhenti mengepam darah ke dalam badan sekali gus mengakibatkan berlakunya cardiac arrest.

Apa yang berlaku pada Muamba pada masa itu, menurut Profesor Sanjay Sharma, pakar kardiologi di St George’s University Hospital, London, adalah “ventricular fibrillation“. Pengaliran elektrik yang tidak stabil dalam jantung.

Ini bermaksud jantung menghentikan fungsi mengepamnya seperti biasa, baik darah beroksigen harus dipam dari ventrikel kiri, kembali ke kanan, tetapi berhenti secara tiba-tiba.

Penamat Karier Muamba

Insiden ini mnyebabkan berakhirnya karier bola sepak Muamba. Kejadian itu menjadi pengajaran kepada persatuan bola sepak dan turut mengubah cara persiapan acara bola sepak dan menangani cardiac arrest.

Sejak 2012, ribuan defibrilator telah dipasang di tempat awam di seluruh United Kingdom, sebahagiannya disebabkan oleh kempen kesedaran yang dimulakan oleh Muamba.