Hanya beberapa bulan lalu, FAM mengadakan bedah siasat ke atas kegagalan pasukan kebangsaan berikutan kegagalan dalam Piala AFF 2020.
Kini satu lagi bedah siasat bakal dibuat atas arahan Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Skuad B-23 bimbingan Brad Maloney menjadi bahan bualan serantau apabila gagal melepasi cabaran Laos dalam kumpulan B. Di mana Malaysia kalah 4-1 secara agregat.
Ianya selepas kalah 2-1 pada perlawanan pertama dan 2-0 pada perlawanan kedua. Lantas Faizal Azumu meminta semua pihak berikhtiar untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di negara kita.
Bercakap dalam satu sidang media, seperti dilaporkan BERNAMA, Faizal berkata:
“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” kata beliau menerusi sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.
Beliau kemudian menganggap menukar jurualtih, pengerusan atau menukar presiden FAM tidak akan memberikan kesan secara keseluruhan kerana ekosistem sukan yang harus diperbetulkan.
Datuk Seri Ahmad Faizal memberikan sokongannya kepada presiden FAM dan pengurusan sedia ada untuk terus kekal. Kerana menurutnya lagi para penyokong juga harus mencari jalan untuk membantu dan bukannya merosakkan atau menentang.
Ahmad Faizal ternyata mendengar suara segelintir pihak yang mahukan presiden FAM meletakkan jawatan.
“Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan.”
Sebelum ini, Bekas pengendali pasukan pembangunan Malaysia, Lim Teong Kim tampil dengan sindiran pedas ke atas FAM dan MFL.
Ianya berikutan kegagalan skuad B-23 Malaysia melayakkan diri ke pusingan kalah mati kejohanan Piala AFF B-23. Ramai pemain dalam skuad tersebut merupakan bekas anak didik Lim Teong Kim.
Malaysia tewas secara agregat 4-1 dalam perlawanan tersebut. Di mana format pertandingan diubah kepada aksi dua ‘leg’ kerana cuma ada dua pasukan dalam kumpulan B.
Hal ini kerana Indonesia dan Myanmar terpaksa menarik diri kerana gejala wabak yang melanda kem mereka.
Menurut Lim Teong Kim, FAM dan MFL selepas itu harus meningkatkan lagi projek naturalisasi sampai ke peringkat pembangunan.
Di mana LTK mencadangkan agar dalam kejohanan seperti B-23, Malaysia menghantar pemain pemain naturalisasi.
Tidak cukup dengan itu, Lim Teong Kim turut mencadangkan agar MFL memberikan kebenaran kepada pasukan memakai 11 pemain import terus di atas padang untuk aksi liga domestik – dua liga utama iaitu Liga Super dan Liga Premier.
Memberikan komen menggunakan instagram miliknya, Lim Teong Kim berkata: “Presiden FAM dan MFL, lain kali guna sahaja pemain naturalisasi untuk B-23.”
“Kalau boleh di Liga Super dan Liga Premier [dua divisyen tertinggi] guna sahaja 11 pemain import.”
Kemudian Lim Teong Kim dengan nada sinis menyatakan bahawa dengan cara itu, maka bola sepak Malaysia akan maju. Daripada bersusah payah cuba mewujudkan liga untuk skuad pembangunan.
“Saya pasti dengan cara itu, bola sepak Malaysia akan maju. Buat apa susah susah nak membuat pembangunan dan mengadakan liga liga remaja kan?”
Bola sepak Malaysia sejak akhir akhir ini lebih menumpukan kepada mahu mengejar kejayaan segera berbanding dengan cuba membangunkan bakat muda dengan latihan yang formal dan terbaik.