Kerajaan telah menegur dan memohon agar pengamal media untuk turut mengamalkan disiplin sosial yang tinggi dalam proses pemberitaan mereka.
Ini bagi memastikan semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam usaha untuk terus mengekang penularan wabak COV19 di negara ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seruan itu dibuat susulan timbul isu pengamal media berhimpit-himpit dalam masjid ketika membuat liputan solat Jumaat semalam.
Menurut Sabri Yaakob, perkara itu mendapat reaksi negatif daripada rakyat dan warganet tatkala kerajaan begitu komited dalam memastikan masyarakat mematuhi disiplin sosial termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri.
Dipetik dari Awani, beliau berkata: “Semalam terdapat isu bukan isu jemaah, tetapi isu pengamal media yang datang terlalu ramai, berhimpit himpit dan jelas tidak mengamalkan penjarakan sosial.”
“Justeru saya memohon kepada pengamal media, jika ingin membuat laporan berita sekali pun tolong patuhi setiap SOP (prosedur standard operasi) yang dikeluarkan termasuklah penjarakan sosial.”
Netizen mempersoalkan, nanti kalau ada kluster baharu, mungkin mereka akan menulis ia kluster masjid dan bukannya kluster wartawan.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihak penganjur sesuatu program turut diminta agar menyediakan tempat yang bersesuaian bagi membolehkan pengamal media dan wartawan menjalankan tugas mereka.
Ini bukan pertama kali para wartawan dilihat gagal mematuhi penjarakan sosial.
Walaubagaimanapun, Presiden Kesatuan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Farah Marshita Abdul Patah pula memohon agar rakyat tidak terlalu cepat menghukum, serta menghina para pengamal media.
Dalam catatan di laman Facebook beliau, Farah Marshita berkata, wartawan sebagai manusia biasa adakalanya terlupa melakukan penjarakan sosial dalam usaha mengejar berita.
Beliau juga menyalahkan penganjur sesuatu program yang tidak menyediakan tempat yang sebaiknya untuk mereka membuat liputan untuk membolehkan mereka mengekalkan penjarakan sosial.
“Ada kawasan yang disediakan untuk pemberita kadang terlalu sempit, ada juga yang cuba mengelak daripada diwawancara, maka, terpaksalah kami berkejar, ada yang tidak membenarkan kami membuat liputan, maka, terpaksalah kami berkumpul beramai-ramai merayu dibenarkan membuat liputan.”
“Sekiranya kami salah, teguran adalah wajar dan kami terima dengan tangan terbuka. Semua ini tidak kami sengajakan,” katanya lagi.
Ada juga berpendapat, jika tahu tempat itu sempit, janganlah masuk, dan utamakan penjarakan sosial. Walaupun tindakan itu dilihat merugikan masa dan tenaga wartawan yang berkunjung ke sesuatu tempat.
Pada masa ini, semua orang harus sedia berkorban.