Merasakan Diri Mereka Di-scam, Barcelona Ancam Heret Atletico Ke Mahkamah

Barcelona dikhabarkan akan mengheret Atletico Madrid ke mahkamah sukan untuk mengambil tindakan undang-undang. Ini kerana Barcelona mempertikaikan tindakan Atletico dalam memanipulasi klausa pinjaman Antoine Griezmann.

Barcelona dikatakan bertelagah dengan Atletico Madrid melibatkan ada unsur unsur memanipulasi perjanjian pinjaman penyerang Perancis, Antoine Griezmann.

Antoine Griezmann kini berada pada musim kedua ataupun musim terakhir dia dalam tempoh pinjaman di Atletico Madrid dari Barcelona.

Atletico Madrid telah meminjam Antoine Griezmann sejak permulaan musim 2021/2022 dengan tempoh pinjaman setahun dan pilihan untuk melanjutkannya selama satu tahun.

Dan Atletico memutuskan untuk melanjutkan lagi kontrak itu sehingga akhir musim ini.

Bagaimanapun, dalam klausa pinjaman Griezmann, Barcelona memasukkan kewajipan untuk membeli untuk Atletico Madrid berdasarkan jumlah penglibatan pemain itu bersama Atletico di atas padang.

Sport ES melaporkan Atletico Madrid wajib membeli Griezmann jika penyerang berusia 31 tahun itu bermain lebih 50 peratus daripada jumlah perlawanan yang dimainkan oleh Los Rojiblancos.

Klausa 50 peratus bukan sahaja termasuk bilangan perlawanan, tetapi juga minit bermain Griezmann bersama Atletico Madrid.

Harga yang ditetapkan oleh Barcelona adalah 40 juta euro.

Atletico Madrid sebelum ini mengakui harga tersebut terlalu tinggi untuk mendapatkan Griezmann secara tetap.

Oleh itu, Atlético Madrid memilih untuk mengelak klausa tersebut dengan melakukan muslihat kotor.

Sepanjang musim ini, Atletico Madrid hanya menurunkan Griezmann dengan tempoh kurang daripada 30 minit dalam setiap perlawanan.

Tindakan itu ibarat serampang dua mata untuk Atletico dan Griezmann. Di mana pemain itu berpeluang untuk memasuki tahun akhir dalam kontraknya bersama Barcelona yang akan membolehkannya menerima gaji yang sangat besar.

Selain itu, Atletico dalam pada masa yang sama boleh mengelak daripada membeli pemain itu dengan nilai €40 juta dan terpaksa membayar €20 juta semusim pada 2024.

Bagi pihak Griezmann, pemain itu dikatakan sudah menyatakan dia sebenarnya tidak gembira dengan kedudukannya sekarang ini.

Griezmann juga berpeluang untuk kembali semula ke Atletico sebagai pemain ejen bebas atau secara percuma.

Los Rojiblancos telah melakukan helah ini dalam lima perlawanan mereka pada permulaan musim 2022-2023.

Biarpun hanya bermain kurang 30 minit dalam setiap perlawanan, Griezmann masih mampu tampil memukau.

Penyerang pasukan kebangsaan Perancis itu berjaya menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan yang diharunginya.

Malah, Griezmann menyumbang satu gol dalam kemenangan tipis Atletico Madrid ke atas FC Porto dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Strategi ini segera dikecam oleh Barcelona, ​​​​yang merasakan diri mereka ditipu oleh Atletico Madrid.

Oleh itu Barcelona merancang untuk membawa kes ini ke undang-undang.

Barcelona mahu menyaman Atletico Madrid kerana melanggar perjanjian klausa pinjaman Griezmann.

Keadaan semasa akan meletakkan Barcelona dalam masalah pada tahun tahun akan datang. Ia akan memberikan impak kepada akaun FFP mereka. Selain daripada menanggung gaji Griezmann yang tak masuk akal, Barca juga kehilangan prospek EUR40 juta masuk ke akaun mereka.

Beberapa minggu lalu, Barcelona tidak tersenarai dalam kalangan 8 pasukan yang melanggar piawaian FFP. UEFA menjelaskan bahawa, Barcelona tidak melanggar kesalahan itu kerana laporan tersebut adalah untuk tahun kewangan 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

Untuk tahun kewangan 2020 dan 2021 tertakluk kepada langkah kecemasan Covid untuk meneutralkan kesan buruk wabak tersebut. Jadi, oleh kerana Barca menangguh kerugian pada tempoh pandemik, mereka termasuk dalam kelonggaran diberikan UEFA.

Tetapi kelonggaran itu tidak ada lagi bermula tahun hadapan. Barcelona masih ada banyak kerja untuk mereka lakukan dalam memastikan akaun FFP mereka kekal sihat.

Baca yang lain