Messi Berdepan Penggantungan 12 Perlawanan, Masuk Akal Ke?

Laporan menyebut bahawa Lionel Messi kini berdepan dengan hukuman berat, selepas kad merah ketika aksi menentang Athletic Bilbao pada final Piala Super Sepanyol.

Marca melaporkan, Lionel Messi kini berdepan dengan hukuman maksimum 12 perlawanan kerana kesalahan beliau itu dalam kategori serius iaitu menyerang lawan dengan serangan fizikal.

Di mana Messi telah menampar Asier Villalibre ketika pasukannya kalah 2-3 dalam aksi final tersebut.

Pengadil perlawanan Jesus Gil Manzano tiada pilihan lain selain daripada kad merah kepada kapten Barcelona tersebut. Itulah kad merah pertama Lionel Messi bersama dengan Barcelona selepas 753 aksinya bersama kelab Catalan tersebut.

Menurut peraturan oleh FA Sepanyol, sebarang kesalahan berbentuk serangan fizikal seperti menumbuk lawan akan dikenakan penggantungan minimum 4 perlawanan dan maksimum 12 perlawanan.

Buat masa ini FA Sepanyol masih menilai lagi hukuman paling setimpal dengan kesalahan Messi. Sama ada beliau bertindak agresif ataupun sebaliknya.

Ronald Koeman pula mempertahankan tindakan Messi. Dan menyatakan pemain beliau itu bertindak sedemikian sebagai normal. Ini kerana menurut Koeman Messi terlalu banyak diterjah sepanjang perlawanan.

Koeman berkata: “Saya faham kenapa Messi bertindak sedemikian.”

“Saya tak tahu berapa banyak kekasaran daripada pemain lawan ke atasnya. Bagi saya itu tindak balas normal ke atas pemain yang beterusan mengasarinya ketika dia cuba menggelecek mereka. Namun saya perlu melihat kembali insiden ini lebih dekat.”


Perkembangan Berkaitan: Messi Swing Penampar Kepada Lawan

Barcelona turun dalam aksi final Piala Super Sepanyol berdepan denmgan Athletic Bilbao.

Ini adalah peluang pertama Ronald Koeman memenangi trofi bersama dengan Barcelona sejak mengambil alih.

Malang sekali, Barcelona kalah di final. Lebih malang Lionel Messi mengutip kad merah langsung dalam kariernya buat pertama kalinya.

Bertempat di Estadio de La Cartuja, final Piala Super Sepanyol kali ini menampilkan pertarungan di antara dua kelab dari Catalan dan Basque. Barcelona tampil sebagai pasukan yang memenangi Piala Super Sepanyol terbanyak. Tampil dengan aksi lebih dominan sejak awal lagi.

Athletic Bilbao bergantung kepada duo serangan Raul Garcia dan Inaki Williams dan turut berjaya mencipta beberapa peluang bahaya.

Pada minit ke-26 ‘, Raul Garcia mendapat peluang dari dalam kotak penalti. Malangnya, rembatannya berjaya diselamatkan oleh Ter Stegen.

Barcelona mulai mendapat rentak. Lionel Messi melakukan percubaan awal yang liar. Lima minit sebelum rehat, Antonie Griezmann menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-40.

Malang sekali gol itu cuma bertahan 2 minit. Athletic Bilbao berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan De Marcos setelah menerima umpanan daripada Inaki Williams.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan satu sama.

Drama lewat separuh masa kedua

Selepas rehat, Barcelona menerusi gandingan Messi-Griezmann- Dembele berkali kali mencipta peluang bahaya di hadapan gawang Bilbao.

Namun, Athletic Bilbao menjaringkan gol terlebih dahulu, yang dibatalkan pengadil dibatalkan kerana Raul Garcia sudahpun offside.

Terus menekan, Barcelona akhirnya berjaya menjaringkan gol kedua, yang dijaringkan lagi oleh Griezmann pada minit ke-77.

Ianya bermula dari hantaran lintang Jordi Alba, penyerang sensasi Perancis itu dengan mudah menyumbat masuk. Bau bau kejuaraan sudah mulai dihidu oleh Koeman.

Ketika perlawanan hampir berakhir untuk kemenangan buat Barcelona, mereka dikejutkan oleh gol pemain gantian Asier Villalibre.

Pemain tersebut yang baru masuk berjaya menembusi gawang Ter Stegen, yang sekaligus kembali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-90. Mengheret  perlawanan ke masa ekstra.

Messi kad merah kerana menampar lawan

Hanya 3 minit perlawanan masa ekstra babak pertama bermula, Bilbao di hadapan menerusi Inaki Williams.

Di mana Williams melakukan satu rembatan deras yang sangat padu.

Dan ketika pasukannya rancak mencari gol, pada minit ke-120, Lionel Messi telah menampar pemain lawan. Lalu beliau dilayangkan kad merah di atas perbuatannya itu yang jelas dilakukan kerana tertekan.

Ulang tayang menunjukkan Messi menghayungkan penampar yang sangat kuat kepada lawan. Lain macam swing dia.

Sebagai rekod, itu adalah pertama kalinya Messi dibuang padang ketika beraksi bersama dengan Barcelona.

Bilbao bertahan dan berjaya memenangi Piala Super Sepanyol. Barcelona terus kemarau trofi selepas musim tanpa trofi pada musim lalu.

Fokus Koeman kini pastinya cuba memperbaiki prestasi Barcelona yang agak terumbang ambing sejak beliau mengambil alih.