Messi Dedah Anaknya Minat Ronaldo Dan 5 Lagi Bintang

Lionel Messi tampil mendedahkan bahawa anaknya yang nakal bernama Thiago itu sebenarnya minat kepada 6 orang pemain bola sepak.

Namun di antara kesemua mereka, yang paling Thiago minat ialah Cristiano Ronaldo.

Ini bukan pertama kali Messi menyatakan bahawa anaknya itu peminat setia Cristiano Ronaldo.

Cuma, semakin Thiago membesar, semakin ramai bintang bola sepak yang beliau kenali dan minati.

Thiago suka menyakat Messi

Thiago dikenali dengan sikapnya yang suka menyakat Lionel Messi dan adiknya. Messi pernah berkongsi cerita bahawa Thiago akan sentiasa menyokong pasukan yang menentang Barcelona dan juga pasukan yang mengalahkan Barcelona.

Ianya kadangkala membuatkan adiknya Mateo menangis kerana usikannya.

Musim lalu, Thiago pernah bermain dengan Messi dan dalam permainan itu, Thiago menggelarkan namanya adalah Liverpool dan Valencia.

Ini kerana dua pasukan itu menwaskan Barcelona ketika itu yang ada Lionel Messi – masing masing dalam kempen UCL dan Copa Del Rey.

Dalam aksi Copa America pula, Thiago pernah memakai jersi Brazil yang merupakan musuh utama Argentina. Macam macam betul si Thiago ni menyakat ayahnya.

Thiago minat 6 pemain ini

Messi menjelaskan anaknya kini sangat minat dengan enam pemain bola sepak.

Messi mendedahkan nama tersebut ialah Cristiano Ronaldo, Luis Suarez, Antoine Griezmann, Arturo Vidal, Kylian Mbappe dan Neymar.

Bercakap kepada Mundo Deportivo, Messi berkata:

“Thiago banyak bercakap tentang Luis Suarez, orang yang kami sekeluarga memang rapat dan kenal.”

“Seterusnya dia juga banyak bercakap tentang Griezmann dan Arturo [Vidal] sejak hari pertama [bertemu mereka]. Ini kerana Thiago suka dengan gaya rambut mereka berdua.”

“Pemain di luar Barcelona yang dia suka ialah [Kylian] Mbappe, Cristiano [Ronaldo],  dan Neymar.”

“Ya, Thiago tahu mereka ini semua. Dia akan banyak tanya soalan tentang pemain pemain ini, dan sangat sukakannya.”

Lionel Messi juga menyatakan bahawa dua orang puteranya, iaitu Thiago dan Mateo sangat minat dengan bola sepak.

Namun Mateo lebih cepat belajar dan memahami bola sepak, menurut pemerhatiannya.

Malah dua anaknya itu juga kerap datang menemaninya ke pusat latihan.

Messi berkongsi kisah bahawa Thiago adalah pengkritik tegar beliau terutama sekali ketika kalah.

“Thiago akan memaksa saya untuk memberikan komen dan penjelasan setiap kali kalah. Ianya sukar untuk menelan kekalahan dan aksi tak bagus, ditambah pula dengan desakan daripada Thiago,” jelas Messi sambil ketawa kecil.

“Thiago jenis yang mengikuti segalanya. Dia suka bercakap dan banyak bertanya, dan memberikan saya beberapa nota jika saya tak main bagus.”

“Ya, saya sudah dapat beberapa nota kritkan itu sekarang.”

Baca yang lain