Messi Iktiraf Real Madrid Pasukan Terbaik Di Dunia

Lionel Messi mengiktiraf Real Madrid sebagai pasukan terbaik di dunia pada ketika ini. Ini kerana kelab itu baru sahaja menjuarai Liga Juara Juara Eropah.

Real Madrid merangkul UCL ke-15 dalam sejarah kelab dan menjadikan mereka jauh meninggalkan pasukan lain sebagai pasukan paling banyak memenangi Liga Juara Juara Eropah.

Walaupun Messi legenda Barcelona, namun dia akui ketika ini Real Madrid adalah pasukan terbaik di dunia.

Messi berkata: “Dan pasukan terbaik di dunia ketika ini adalah Real Madrid. Kerana mereka baru saja memenangi Liga Juara Juara Eropah. Jika tak silap musim sebelum ini Manchester City yang juara kan?”

Messi menegaskan dua pasukan tersebut, Real Madrid dan Man City adalah pasukan yang berada di ranking teratas untuk pasukan terbaik.

Messi menegaskan: “Jika kamu melihat dari segi keputusan, Madrid adalah pasukan terbaik di dunia, kerana mereka tahu cara untuk menang.

“Namun jika kamu melihat dari segi corak permainan, saya secara peribadi memilih Manchester City bimbingan Pep Guardiola adalah pasukan terbaik di dunia.

“Jadi saya simpulkan, pasukan mana yang memiliki corak permainan terbaik, ianya City. Dan pasukan mana terbaik dalam mendapatkan keputusan terbaik, itu Madrid.

Ditanya pandangannya tentang rakyat Argentina yang menyayanginya, Messi menegaskan dia tahu dan merasakan cinta rakyat Argentina di mana sahaja dia berada.

“Ya saya tahu, saya dah beritahu kamu tadi, walaupun kami sekeluarga tidak berada di Argentina, namun kami mengikuti perkembangan dan mengetahui segala yang berlaku di sana.

“Rakyat Argentina sentiasa menyokong saya. Ketika saya di Barcelona, di Paris, rakyat Argentina terus setia bersama saya sama ada ketika momen yang bagus, dan paling penting mereka ada di belakang saya ketika detik sukar, terutama sekali di pasukan kebangsaan sebelum ini di mana kami bergelut.

“Saya merasakan bahawa orang Argentina sentiasa bersama saya dan saya menghargainya selalu.”

Messi mengakui bahawa dia pernah merasa terkilan ketika gagal membantu negaranya memenangi trofi. Dan ketika dia berjaya membantu Argentina memenangi Copa America dan kemudian Piala Dunia, dia menganggap itu adalah yang terbaik. Messi beberapa tahun lalu pernah menyatakan bahawa dia sanggup menukarkan semua piala yang dia menangi di Barca untuk Argentina.

Dan dia juga mendedahkan bahawa, kejayaan bersama Argentina sentiasa di atas segalanya.

Messi mengakhiri wawancaranya dengan berkata: “Saya juga merasakan sebelum ini ada sesuatu yang hilang. Kerana ketika di Barcelona saya memenangi segalanya, namun bersama pasukan kebangsaan saya hilang sesuatu. Jadi setelah saya berjaya membantu Argentina mencapai segalanya, itu adalah yang terbaik bagi saya.”