MFL Akhirnya Umumkan Piala Sumbangsih Tidak Lagi Dikacukkan Dengan Perlawanan Pertama Liga Super

Jauh dah perjalanan Liga Malaysia sebenarnya. Tidak kira era sebelum semi pro, semi pro dan yang ada pada hari ini.

Satu perkara yang kerapkali menjadi perbualan hangat adalah Piala Sumbangsih yang diletakkan sebagai perlawanan pertama Liga Super.

Memang tak masuk akal. Sebab Piala Sumbangsih itu berbentuk cup competition. Dan perlawanan liga pula berbentuk liga yang dimainkan hanya 90 minit.

Konflik lain yang boleh berlaku, adalah bayangkan pemenang pertandingan piala adalah bermain di divisyen kedua pada musim berikutnya. Bagaimana Piala Sumbangsih boleh diletakkan dalam Liga Super matchday 1?

CEO MFL dilaporkan telah mengumumkan bahawa bermula musim 2022, Piala Sumbangsih akan diasingkan daripada Liga Super. Tiga tahun yang lepas kita pernah berbincang tentang beberapa konflik dalam penganjuran Piala Sumbangsih yang dikacukkan dengan Liga.

 

Piala Sumbangsih adalah privelege untuk dua pasukan musim lalu yang cemerlang untuk menandakan sepak mula pertandingan di bawah Liga Malaysia untuk kempen musim baru.

Dipetik dari La Bola Malaysia, Piala Sumbangsih akan berlangsung pada 26 Februari dan venue pertandingan adalah di Stadium Sultan Ibrahim.

Saingan Liga Super pula akan bermula 4 Mac dan berakhir pada 17 September.

Bagi pertandingan Liga Premier, persaingannya akan bermula dari 5 Mac ke 3 September.

Musim ini juga menyaksikan kembalinya Piala FA selepas 2 tahun dibatalkan kerana pandemik yang melanda.

Rata rata peminat menyambut baik idea ini kerana sudah lama menunggu perubahan dalam format Piala Sumbangsih.

Selain itu terdapat juga peminat bola sepak berharap di masa akan datang, pertandingan Piala Sumbangsih akan diadakan di gelanggang berkecuali, sesuai dengan format final pertandingan piala yang memberikan layanan 50-50 kepada pasukan bertanding.

Namun ianya bukanlah masalah yang besar. Kerana Johan Cruyff Shield yang berbentuk format Piala Sumbangsih di Belanda turut menggunakan format menjadikan gelanggang juara Eredivisie sebagai gelanggang pertandingan sejak 2017.

Ini untuk memberikan juara penghormatan bagi ‘sepak mula’ kempen di Liga Belanda. Acara ini dianggap acara amal di Belanda dan digelar juga keramaian sosial bola sepak.

Bagi Liga Inggeris, mereka merupakan pencetus idea kepada Perisai Komuniti dan ianya juga berbentuk satu penghargaan kepada juara liga tertinggi berhadapan dengan pemenang pertandingan piala pada musim sebelumnya.

Sebenarnya ada banyak format Piala Sumbangsih ataupun Perisai Komuniti dan juga disebut Supercoppa ini sekarang ini. Misalnya La Liga sudah mulai mengubah format kepada 4 pasukan bertanding dalam Supercoppa Espana. Ianya dianjurkan pada pertengahan musim dan mereka menjual hak penganjuran mereka ke seberang laut.

Biasalah, mereka kan expect Barca dan Real Madrid mesti akan ada dalam pertandingan ini. Boleh sauk duit daripada el clasico kan?

Apa sahaja formatnya, Piala Sumbangsih tetap satu pertandingan yang berbeza dengan liga.

Baca yang lain