MFL Arah Selangor FC Main Stadium Kosong, Bayar Denda Dan Pampasan Kepada JDT

MFL telah rasminya mengeluarkan hukuman berat ke atas Selangor yang menarik diri daripada beraksi dalam Piala Sumbangsih yang lalu.

Selangor ketika itu meminta aksi ditunda namun MFL tidak setuju. Dan Selangor terus bertegas bahawa mereka tidak akan beraksi dalam aksi tersebut atas alasan keselamatan.

Hari ini MFL mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan dengan denda dan hukuman berat ke atas Selangor. Ini termasuk hukuman bermain di stadium kosong untuk aksi Selangor menentang JDT untuk aksi LS14.

MFL menulis: “Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan Mesyuarat bagi membincangkan kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

“Selepas mengambil pertimbangan pada setiap faktor kes itu, Ahli Lembaga Pengarah yang menghadiri mesyuarat itu sebulat suara membuat keputusan berikut;

“1. Denda sebanyak RM100,000.
a. Wang denda ini akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

“2. ⁠Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL.

“a. MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

“3. Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

“4. Perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.

“a. Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan.”