Liga Malaysia 2023 bakal berwajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih dinamik dan berdaya saing.
Hasil persetujuan Rakan Kongsi Liga menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM) yang berlangsung pada hari ini, MFL memperkenalkan penstrukturan semula piramid bola sepak domestik yang lebih relevan dengan arus permodenan bola sepak, aspek komersial dan meletakkan keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan bermula musim depan.
Pembaharuan ini akan melibatkan enam aspek utama:
Liga Super akan membabitkan penyertaan 18 kelab berbanding hanya 12 kelab sejak 2013.
Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu sebelum akan dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan kelab dilaksanakan bersama AFL untuk pasukan pasukan M3.
Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan. Liga Simpanan ini juga bertindak sebagai landasan perantara Liga Super untuk pemain pemain mendapat minit permainan, adaptasi dan persediaan ke Liga Super.
Dengan itu, konsep Reserve Team akan berakhir dan kesemua pasukan Liga Super akan mempunyai pasukan bawah 23 tahun (B-23) dan ini sekali gus akan memberi daya saing lebih seimbang kepada semua pasukan.
Kuota pemain import sejajar dengan pergerakan AFC tetapi juga berasaskan jaminan slot kepada pemain tempatan di atas padang sambil memastikan peningkatan kualiti dan peluang setiap pasukan di dalam sesebuah liga elit kebangsaan juga diutamakan serta kuota pemain import sama rata kepada semua pasukan Liga Super.
Format Piala FA dan Piala Malaysia akan dirumus semula dengan peningkatan perlawanan liga dan juga perubahan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.
Penstrukturan semula dan peningkatan perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pembentangan MFL hari ini adalah hasil kajian yang bermula awal 2022 di mana MFL telahpun merujuk kepada pelbagai pihak berkepentingan dan pihak berkuasa bola sepak seperti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), AFC dan juga kajian beberapa liga antarabangsa untuk melihat formula yang sesuai untuk diserapkan di Malaysia.
MFL juga telah mengadakan siri perbincangan bersama agensi-agensi antarabangsa antaranya komersial antarabangsa yang berkerjasama dengan liga di seluruh dunia.
1. Liga Super
Liga Super tahun 2023 akan melihat 18 pasukan bersaing untuk 16 slot Liga Super 2024 di mana format 16 pasukan Liga Super akan kekal untuk tahun tahun berikutnya.
Tahun ini (2022), dua pasukan paling bawah Liga Premier akan bersaing dengan 2 pasukan Liga M3 untuk slot ke-17 dan ke-18 Liga Super tahun 2023 namun wakil M3 wajib memenuhi kriteria pelesenan kelab MFL sebelum diterima masuk ke Liga Super di mana bagi musim 2023 pula, Liga Super akan bergerak ke liga 16 pasukan
2. Liga Simpanan (Reserve League) dan Konsep Reserve Team berakhir
Liga Super 2023 turut akan disokong oleh Liga Simpanan (Reserve League) yang menjadi pentas kepada pembangunan pemain B-23 bagi memastikan jaminan minit permainan berdasarkan kajian MFL di mana pemain-pemain muda tidak mendapat minit di pasukan utama.
Untuk makluman, jarak umur pemain Piala Presiden dan Piala Belia adalah begitu besar dan mantan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee sebelum ini berkata pada 25 Januari 2022 mencadangkan agar Liga Simpanan ini diwujudkan bagi memastikan perkembangan pemain muda dengan mendapat minit permainan.
Untuk memastikan kualiti perlawanan Liga Simpanan dipertingkatkan, pembangunan diutamakan dan adaptasi pemain B-23 bersedia beraksi di Liga Super pada bila-bila masa, setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima(5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.
Slot lebih umur dan kelibat pemain import ini akan mengimbangkan dan meningkatkan penanda aras liga selain menjadi landasan buat pemain B-23 untuk menyesuaikan diri dengan jurang Liga Super.
Ini juga membuka peluang kepada pasukan Liga Super untuk menggunakan Liga Simpanan sebagai platform pemulihan pemain senior ataupun memastikan pemain pasukan utama diberi peluang pengekalan prestasi.
Liga Simpanan ini bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek pembangunan sebaliknya Liga Simpanan ini adalah pembaharuan positif untuk pemain tempatan di mana ia akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ untuk melangkah ke Liga Super.
3. Liga M3
MFL tidak melupakan kepentingan lebih banyak kelab bola sepak profesional dan kaitannya dengan ekosistem yang semakin meningkat untuk menyokong industri profesional di Malaysia.
Bagaimanapun MFL juga sedar bahawa jurang antara kelab dalam M3 dan M2 atau M1 adalah terlalu besar.
Oleh itu, MFL akan bekerjasama rapat dengan Amateur Football League (AFL) dalam melancarkan program Pembangunan Kelab yang akan memastikan MFL berusaha ke arah meningkatkan kumpulan profesional kelab yang akan meningkatkan standard struktur liga tempatan pada masa hadapan.
Walaupun Liga Premier akan berhenti sementara, peluang pasukan M3 tidak ditutup sepenuhnya dengan peluang beraksi di Piala FA dan terbaharu peluang beraksi di pentas play-off Piala Malaysia sedang dikaji.
Bagi kelab-kelab amatur Liga M3 musim ini, mereka juga masih berpeluang beraksi dalam Liga Super 2023 di mana dua slot akan diberikan menerusi aksi play-off di antara pasukan juara dan naib juara Liga M3 musim 2022 dengan dua pasukan paling bawah Liga Premier.
Bagaimanapun seperti dikatakan di atas, kelayakan kelab Liga M3 menyertai Liga Super musim ini ataupun musim-musim seterusnya wajib memenuhi syarat-syarat Peraturan Pelesenan Kelab dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah sebelum diterima masuk ke Liga Super.
Kuota pemain import
Sedia maklum, kuota pemain import Liga Malaysia menimbulkan sedikit percanggahan semasa dimana Kelab yang tiada pasukan Reserve hanya mempunyai 5 pemain import berbanding dengan Kelab yang mempunyai pasukan Reserve yang mempunyai peluang memilih daripada 9 pemain import setiap perlawanan.
Juga dengan mengambil kira pertukaran terbaharu kuota pemain import yang dimaklumkan AFC iaitu enam pemain import (5+1), MFL telah menetapkan format baharu pendaftaran sembilan (9) pemain import ada diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super bermula tahun 2023.
Walaupun MFL akan mengikut ketetapan AFC dalam penggunaan 6 pemain import namun MFL masih kekal dengan hanya membenarkan 5 pemain import (iaitu 3+1 (Asia)+1 (ASEAN)) diatas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan bagi menjaga slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.
Sebelum ini penggunaan sembilan pemain import hanya melibatkan pasukan yang memiliki pasukan simpanan (Reserve Team) tetapi kini kuota itu sama rata kepada kesemua 18 pasukan.
Bagaimanapun penggunaan pemain import tidak diwajibkan dan bergantung kepada kesesuaian dan percaturan pasukan masing-masing.
MFL masih akan menguatkuasakan penggantian lima (5) pemain semasa perlawanan seperti yang dilaksanakan tahun lalu dan tahun ini. Peluang lima (5) penggantian pemain dilihat sebagai satu unsur positif dimana ‘intensity’ perlawanan dikekalkan dan juga pemain muda diberikan peluang dan kepercayaan.
Format Piala FA dan Piala Malaysia
Kalendar kebangsaan juga dijadikan penekanan disebabkan pertukaran kalendar AFC dan berubah mengikut musim sekali gus memberi impak kepada format Piala FA dan TM Piala Malaysia yang akan diadakan bersesuaian dengan kalendar pada tahun 2023 serta tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Kalendar Kebangsaan perlu dicatur awal dengan FAM bagi memastikan sebarang pindaan perlawanan dapat dielakkan.
Piala Belia (B-19) dan Piala President (B-21)
Diterajui FAM, MFL akan berkerjasama dengan FAM untuk memastikan format dan jumlah perlawanan pasukan dalam Piala Belia dan Presiden Piala akan memenuhi semua piawaian antarabangsa dan memastikan bahawa liga pembangunan ini menyediakan peluang yang diperlukan untuk semua bakat muda tempatan berkembang dan dan menyediakan industri dengan kumpulan bakat yang semakin berkualiti
Pelaksanaan penstrukturan semula Liga Malaysia itu juga menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.
Jumlah 34 perlawanan ini ternyata memenuhi saranan FIFA hasil kaji selidik badan induk bola sepak antarabangsa itu yang dikongsikan kepada FAM sebelum ini.
Justeru, peningkatan jumlah perlawanan dengan penstrukturan semula Liga Malaysia bermula tahun hadapan bakal menjadi satu signal di mana Liga Super bakal menjadi satu gelanggang yang lebih serius, kompetitif serta bersaing tinggi buat kepada 18 pasukan yang bertanding selain ia juga dapat meningkatkan tahap pengurusan yang tinggi untuk memacu pembangunan bola sepak Malaysia.
Menurut Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, beliau percaya penstrukturan semula Liga Super itu bukan sahaja meningkatkan aspek kualiti pertandingan di mana objektif utama adalah untuk merapatkan jurang kumpulan usia, jaminan minit permainan dan dalam masa yang sama mahu mengekalkan standard antarabangsa mengikut perubahan bola sepak moden selain ia juga mampu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia yang kini dinobatkan sebagai liga nombor satu Asia Tenggara.
“MFL sentiasa bergerak untuk memastikan Liga Malaysia berada di dalam peta bola sepak Asia di mana penstrukturan semula Liga Malaysia ini dilihat menjadi satu langkah positif kepada semua pihak yang berada dalam industri bola sepak negara.”
#LigaMalaysia2023 bakal berwajah baharu apabila MFL melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara lebih dinamik dan berdaya saing.
Berikut merupakan isi-isi penting penstrukturan semula piramid bola sepak Malaysia pada musim depan.
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) July 20, 2022
“Kita melihat kepada tuntutan AFC yang sentiasa mahu ahli gabungan meningkatkan standard dan kita tidak mahu kelab-kelab Liga Malaysia ketinggalan dalam arus perkembangan bola sepak di rantau ini.”
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata: “MFL juga ingin berterima kasih kepada FAM, AFC dan FIFA di atas bantuan setiap laporan yang menjadi rujukan kepada MFL dan rakan liga liga antarabangsa yang membantu MFL sehingga kini. Pelesenan kelab AFC meningkat setiap tahun dan MFL tidak boleh duduk diam.
“Kami memahami bahawa perubahan tidak selalunya mudah tetapi kadangkala ia keperluan tidak boleh diabaikan dan kami berharap semua pihak yang berkepentingan terbuka kepada penstrukturan semula dan menyahut cabaran ini untuk mengembangkan bola sepak Malaysia ke arah tuntutan bola sepak moden,” katanya.
Nota editor: Di Atas adalah kenyataan rasmi MFL