Michu: Kisah Poacher £30 Juta Yang ‘Dibunuh’ Kecederaan Buku Lali

Michu adalah penjaring terbanyak dalam EPL pada Krismas 2012. Michu menamatkan musim 2012-13 dengan 18 gol di EPL, dan 22 gol dalam semua pertandingan.

Ia bukan satu angka yang mudah dicapai dengan pasukan seperti Swansea City. Gaya poacher klasik yang hanya memerlukan ruang sebesar lubang jarum untuk menjaringkan gol.

Beliau membuatkan ramai melihat kerja menjaringkan bola di EPL ini tersangat mudah.

Sasaran Arsenal

Selepas musim yang cemerlang itu, beliau terus menjadi sasaran kelab besar. Tanpa berlengah Swansea City terus menawarkan kontrak baharu kepada pemain yang terkenal dengan keraian mumusingkan tangannya di telinga.

Beliau menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama Swansea pada Januari 2013 – hari di mana pengerusi Swansea, Huw Jenkins meletakkan tag harga Michu denga nilai £30 juta.

Ia adalah respon ke atas khabar angin yang kuat mengaitkan beliau dengan kelab-kelab besar termasuk Arsenal.

Arsenal menjadikan Michu sasaran utama mereka selepas bidaan pelik £40,000,001 untuk Luis Suarez gagal.

Selain  itu Independent turut melaporkan Arsenal ada cuba untuk mengintai khidmat Wayne Rooney yang dilihat masa depannya tidak menentu ketika itu.

Namun ianya juga ditolak.

Arsenal menawarkan harga £25 juta untuk Michu. Namun Swansea berkeras mahukan £30 juta.

Melihat tawaran daripada Arsenal, Michael Laudrup terus meminta dana untuk mendapatkan Wilfred Bony dengan nilai £12 juta.

Beliau tahu, Swansea boleh kehilangan Michu pada bila bila masa sahaja.

Akibat kecemerlangannya pada musim pertama di Liga Perdana Inggeris, Michu kemudian mendapat panggilan daripada pasukan kebangsaan Sepanyol. Karier Michu nampak sangat sempurna.

Swansea melaporkan mereka terpaksa menolak banyak sekali tawaran di atas meja mereka untuk Michu.

Kecederaan buku lali

Namun begitu, selepas mengalami kecederaan pada buku lali yang berterusan – persembahan beliau menurun dengan mendadak.

Beliau kemudian banyak disisihkan kerana isu kecrgasan. Michu hanya menjaringkan dua gol dalam EPL pada musim berikutnya.

Beliau tidak bermain sebarang perlawanan bola sepak selepas April 2014. Membuatkan beliau digelar sebagai One Season Wonder sebenar di Liga Perdana Inggeris.

Michu mencari rentak

Michu dipinjamkan ke Napoli pada musim panas. Di Napoli, Michu hanya bermain dalam dua perlawanan liga-selebihnya dihabiskan di pusat rawatan dan rehat di rumah kerana masalah kecederaan yang berterusan.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pergelangan kaki.

Walaubagaimanapun beliau masih menerima banyak tawaran daripada kelab-kelab dalam Liga Perdana Inggeris dan juga divisyen satu Sepanyol.

Mereka mahukan khidmat beliau dan sanggup menunggu beliau untuk sembuh.

Namun begitu, Michu enggan menerima tawaran tersebut kerana bimbang beliau mungkin tidak akan pulih – ia akan menyusahkan kelab. Malah Michu turut mempertimbangkan untuk bersara awal.

Pada Krismas 2015, beliau telah telah mencapai persetujuan dengan Swansea untuk menamatkan kontrak semasa beliau yang sepatutnya berakhir pada 2017.

Bermain di Liga Amatur

Selepas pulih – Michu menyertai kelab Union Popular Langreo, sebuah pasukan amatur yang beraksi di divisyen ke-4 Sepanyol.

Michu cuba mencapai prestasi fizikal yang terbaik. Beliau memang masih mengintai semula peluang kembali semula ke kancah bola sepak profesional.

Akhirnya, pada penghujung Ogos lalu 2016, beliau menyertai Real Oviedo dan beraksi di divisyen kedua Sepanyol.

Namun sehingga ke hari ini karier Michu terus tenggelam dan tidak pernah bangkit lagi.

Beliau akhirnya akur dan menyatakan kecederaan buku lalinya membuatkannya terpaksa meninggalkan bola sepak.

Itulah kisah pemain istimewa yang pernah menjadi hiburan kepada kita semua pada satu ketika dahulu, tetapi dibunuh oleh kecederaan.

Kita semua sukakan Michu kerana perwatakan beliau yang budiman di hadapan media.

Beliau tak pernah terlibat dalam mana mana kontroversi. Sentiasa menghormati orang lain dan memberikan inspirasi kepada ramai penyerang ketika prime.

Baca yang lain