Mido: Kisah Budak Nakal Yang Berdepan Masalah Berat Badan Selepas Bersara

Sebelum kegemilangan Mohamed Salah di EPL, dahulu ada nama Ahmed Hossam Hussein Abdelhamid Wasfy ataupun Mido.

Mido merupakan pemain yang berbeza perwatakannya berbanding Mo Salah. Lebih nakal dan lebih kontroversi.

Antara kisah kontroversi Mido adalah, pada 2004, dia menolak panggilan skuad kebangsaan kerana kecederaan, tetapi selepas itu dia bermain untuk kelabnya pada hari berikutnya.

Dua tahun kemudian, di separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika, Mido sekali lagi mencetuskan kontroversi menentang Senegal. Kali ini kerana pertengkaran yang sangat tegang dengan jurulatihnya dalam pasukan kebangsaan ketika itu, Hassan Shehata.

Apabila Shehata memilih untuk menggantikan penyerang itu pada separuh masa kedua dengan jaringan 1-1, Mido sebaliknya menyindir jurulatihnya sebagai “keldai”.

Shehata tidak berdiam diri mengulas kenyataan Mido. “Tidak, bukan aku, tapi kau tu yang keldai, bangang” katanya.

Akibatnya, Mido dikenakan tindakan disipilin, digantung daripada mewakili negaranya selama enam bulan kerana kelakuannya. Dia tidak pernah lagi bermain untuk Mesir dalam kejohanan besar lagi selepas itu.

Kerjaya kelabnya juga menjadi kontroversi, bermula apabila dia menyertai gergasi Belanda, Ajax, semasa remaja.

Mido dengan cepat menimbulkan kemarahan jurulatih Ajax ketika itu, Ronald Koeman, dengan sikapnya.

“Di negara sendiri, dia dilihat sebagai superstar. Bagaimanapun, dia mesti sedar bahawa dia perlu belajar banyak dan perlu diingatkan tentang erti bermain untuk kelab seperti Ajax.”

” Jika saya meletakkannya di bangku simpanan, dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan penghormatan bermain dalam kesebelasan utama,” kata Koeman mengenai pemain muda itu.

Bukan sahaja jurulatihnya yang bertelagah dengan Mido, pemain berusia 39 tahun itu dilaporkan telah membaling gunting ke arah rakan penyerang Zlatan Ibrahimovic selepas pertikaian di bilik persalinan.

Walaupun secara statistik Mido bagus dengan 21 gol dalam 40 perlawanan di Eredivisie, dia pergi selepas tempoh pinjaman singkat di Celta Vigo, sebelum berpindah tetap ke Marseille dan kemudian ke Roma.

Permulaan baru di Tottenham

Kerjayanya di Tottenham bermula apabila dia tiba di London Utara dengan pinjaman 18 bulan pada Januari 2005. Dia membuktikan kehebatannya serta-merta dengan menjaringkan dua gol pada penampilan sulungnya menentang Portsmouth.

Kehebatannya berterusan di White Hart Lane pada musim penuh pertamanya bersama kelab itu. Dia menjaringkan 11 gol dalam 27 penampilan Liga Perdana.

Spurs kemudiannya memberikan kontrak tetap pada Ogos 2006. Malangnya, Mido hanya akan berjaya menjaringkan satu gol lagi selepas menandatangani kontrak tersebut. Entah kenapa?

Dia mulai leka. Dengan wang yang banyak, dia mulai memikirkan perkara lain selain bola sepak. Suka berfoya foya dan semakin tak serius dengan bola sepak.

Dia mulai disisihkan ke bangku simpanan. Sekali lagi Mido memprotes. Berbeza dengan pemain lain yang akan berusaha memenangi tempatnya semula. Mido pula menganggap itu adalah petanda dia harus pergi daripada kelab yang tidak menghargai bakatnya.

Walaupun bakatnya yang tidak diragui, Mido tidak akan pernah menghasilkan jumlah gol dua angka dalam satu musim untuk mana-mana kelab.

Penyesalan Mido

Mido sendiri kemudiannya mengakui kekesalannya kerana meninggalkan Tottenham untuk ke Middlesbrough pada 2007. “Saya membuat kesilapan besar dengan pergi. Saya tidak cukup sabar untuk bermain perlawanan dan tidak bermain perlawanan seterusnya.”

Mido juga bergelut dengan kecederaan semasa berada di Timur Laut England itu dan keadaan fizikalnya menjadi masalah apabila dia semakin tua.

Selepas tempoh pinjaman yang mengecewakan di West Ham dan Wigan, dia meninggalkan Middlesbrough pada Julai 2010. Dia membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu selepas hanya menjaringkan tujuh gol dalam 32 penampilan sepanjang dua musim.

Penyerang itu kemudian menjadi seorang nomad bola sepak, muncul sekali lagi di Ajax, Zamalek, malah membuat penampilan tunggalnya untuk Barnsley sebelum menamatkan kariernya.

Transformasi badan yang drastik selepas bersara

Di sinilah masalah semakin sukar untuk Mido dalam penjagaan kesihatan. Berat badannya nampaknya telah melonjak naik hingga lebih 23 kg. Berat badan berlebihan itu terbukti apabila dia menjalani temu bual dengan The Guardian pada 2018.

“Saya (berat 150 kg) dan saya sampai ke tahap tidak boleh berjalan sejauh 30 meter,” katanya. “Jika saya melakukannya, saya mula merasakan sakit di belakang, sendi dan lutut saya dan mengah.”

“Saya masih ingat saya turun dari bot saya di Mesir lima bulan lalu – hari ini adalah titik perubahan dalam hidup saya – dan saya berjalan menuju ke sebuah pulau.”

“Saya mempunyai tiga kawan dengan saya dan ia adalah 300 ela ke hujung pulau. Pasirnya agak berat dan agak cerah dan saya berkata kepada mereka: ‘Saya tidak boleh berjalan.’ Saya terpaksa duduk selama 30 minit. Sedangkan, saya baru berusia 34 tahun.”

“Ketika itulah butang dipusing. Dua hari kemudian saya berjumpa doktor. Dia minta saya buat ujian darah. Apabila saya mendapat keputusan dan doktor mula bercakap dengan saya, saya tahu saya perlu berubah.”

“Dia memberitahu saya bahawa kolesterol saya adalah 320 dan purata tertinggi ialah 200. Dia berkata saya berada di ambang diabetes,” tegas beliau.

Mido kemudian mengubah rutin hidupnya. Dia mulai mengurangkan berat badannya.

“Sejujurnya, doktor memberitahu saya bahawa jika saya meneruskan gaya hidup saya yang ada ketika itu, terdapat lebih daripada 80% kemungkinan saya akan mati sebelum saya berumur 40 tahun. Dia memberitahu saya: ‘Kamu akan mati awal.’

Pada Mei tahun 2020 yang lalu, Mido turut mendedahkan bahawa troll mendorongnya dalam usahanya untuk mendapatkan bentuk badan dan dia kehilangan berat badan sebanyak 37 kilo.

Dia yang selalu melayan media sosial mendapati dirinya menjadi bahan lawak jenaka generasi muda. Oleh kerana dia sudah tua dan lebih matang. Dia menyambut troll itu dengan tenang. Dia tidak pergi menyaman mereka atas tuduhan body shaming. Atau menyerang mereka kembali seperti sikapnya yang panas baran masa muda muda dulu.

Sebaliknya dia menjadikannya motivasi untuk kurus. Usikan dan perlian rakan rakannya juga menjadi pemangkin semangatnya.

Dia telah mengurangkan karbohidrat yang tidak baik, memotong makanan bergoreng, garam dan gula daripada dietnya dan melakukan senaman yang konsisten – sama ada berenang, skuasy, bola sepak atau angkat berat.

Kedua-dua dia dan jurulatih peribadi Aly Mazhar sentiasa memaklumkan peminat tentang penurunan berat badannya di laman Instagram masing-masing.

Pada Mei 2018, Mido akhirnya berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 37kg dalam masa 5 bulan. Dan dia terus mengamalkan cara hidupnya yang sihat itu.

Mido akhirnya boleh melakukan aktiviti seperti yang dia mahukan sekali lagi terutama sekali bermain bola sepak.

 

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.