Mike Tyson Mahu Kembali Bertarung Dan Dermakan Semua Hasilnya Kepada Badan Amal

The Iron Mike mahu kembali ke gelanggang tinju untuk bertarung dan segala hasil yang beliau peroleh akan didermakan ke badan kebajikan.

Mike Tyson pada bulan lalu telah terlibat dalam satu perlawanan pertunjukkan bertemu Roy Jones Jr, dan kini beliau sedang kembali aktif menjalani sesi latihan seperti biasa.

Kedua-dua legenda dunia sukan tinju itu bertarung dalam satu perlawanan yang cukup hebat dan menghiburkan.

Menariknya lagi, perlawanan yang menemukan kedua-dua legenda, Mike Tyson dan Roy Jones Jr itu berkesudahan dengan keputusan seri.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan peminat merasakan bahawa Iron Mike seharusnya ditabalkan sebagai pemenang dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri itu.

Iron Mike dilaporkan akan kembali beraksi tidak lama lagi dan bekas Juara heavyweight dunia itu sendiri telah menyatakan bahawa beliau mahu mengadakan pertarungan sebanyak satu kali dalam tempoh setiap dua bulan.

Apa yang membuatkan para peminat rasa bangga dan terharu adalah, Iron Mike mahu mendermakan segala hasil dari pertarungan tersebut untuk badan amal.

Seperti semua sedia maklum, Iron Mike sememangnya seorang yang terkenal dengan sikap pemurah dengan beliau sebelum ini telah mendermakan semua duit dalam dompetnya untuk tujuan amal kebajikan.

Tyson dalam kenyataannya sebelum memutuskan untuk kembali bertarung telah menyatakan:

“Perkara ini lebih bagus dari berlawan untuk sekadar merebut kejuaraan dunia.”

“Sekarang kita semua harus menyokong segala jenis aktiviti kemanusiaan.”

“Kita boleh melakukan sesuatu yang baik untuk dunia. Kita harus sentiasa melakukannya. Ia perlu dilakukan dengan lebih kompetitif. Saya pernah hadapi 15 pertarungan dalam tempoh setahun. Jadi mari kita cuba dan berusaha ke arah itu.”

Iron Mike juga kini sedang dalam usaha untuk mencari lawan yang seterusnya, dengan Evander Holyfield dilaporkan bakal menjadi calon yang bakal bertarung dengan beliau selepas ini.

Selain itu, Lennox Lewis sendiri baru-baru ini telah tampil dan mendedahkan bahawa beliau juga akan kembali ke gelanggang untuk kembali beraksi dalam masa terdekat ini.

Kini, walau tidak mempunyai sebarang perlawanan dalam masa terdekat, Mike Tyson tetap meneruskan latihan dengan lebih intensif.

Beliau sering memuat naik video dilaman instagram miliknya yang memperlihatkan dirinya sedang menjalani sesi latihan.

Dalam rakaman tersebut, Tyson dilihat sedang menjalani latihan mengelak dan menumbuk bersama jurulatihnya, Rafael Cordeiro.

Peminat juga teruja melihat aksi Iron Mike dalam rakaman tersebut yang mana beliau mempamerkan kepantasan yang luar biasa ketika menghayunkan tumbukan.

Gaya beliau menumbuk sama sekali tidak mencerminkan usiaya yang sudah lanjut dan beliau masih kelihatan seperti petinju yang baru berusia 30 an sahaja.

Selepas perlawanan pertunjukkan antara Mike dengan Jones Jr, George Foreman telah menyatakan bahawa beliau sangat yakin Tyson masih mempunyai kemampuan untuk menjadi Juara Dunia.

“Andai dia dapat kekalkan persembahan seperti sekarang, dan dia mampu dapatkan kembali momentum dia, saya yakin semua benda akan ikut sama, dia masih berpeluang untuk bertarung dalam merebut kejuaraan dunia.”

Jelas Foreman.

“Kalau dia boleh urus dengan betul, saya rasa, Juara dunia sebenar yang akan datang pada dia. Dan andai hal itu terjadi, Tyson pasti akan menumbangkan Juara dunia itu.”

“Tyson jelas masih hebat. Dia benar-benar mengagumkan.”

“Roy Jones dalam perlawanan ini perlu guna kesemua skill yang dia ada untuk terus bertarung dan masa sama mengelak dari dia ditumbangkan oleh Tyson.”

“Saya betul-betul tak percaya dengan apa yang saya lihat. Ini baru perlawanan pertunjukkan. Bayangkan saja kalau Tyson terus berlatih sejak satu atau dua tahun lalu. Saya rasa dia sudah dalam perjalanan untuk menjadi Juara dunia sekali lagi sekarang. Juara dunia dengan usia 54 ke 55 tahun.”

Semoga saja usaha murni Iron Mike untuk kembali bertarung dengan niat untuk menderma kepada badan amal akan dipermudahkan.