Miller Sindir Bos Repsol Honda Yang Menganggap Kejuaraan Tanpa Marquez Bukan Kejuaran Sebenar

Pelumba Pramac Ducati, Jack Miller tampil menyindir bos Repsol Honda, Alberto Puig berikutan kenyataan kontroversi Puig baru baru ini.

Puig seolah oleh merendah rendahkan pelumba lain dengan menyatakan, jika pelumba lain menjadi juara MotoGP kerana Marquez cedera, maka itu tidak dikira kejuaraan yang memuaskan dan tiada apa yang harus dibanggakan.

Pelumba Pramac Ducati Jack Miller nampaknya tidak senang dengan kenyataan bos Repsol Honda Alberto Puig baru-baru ini.

Puig mengatakan perkara itu selepas Marc Marquez, yang merupakan juara bertahan kejohanan dunia, mengalami kemalangan teruk minggu lalu di MotoGP Sepanyol 2020.

Puig dalam kenyataannya berkata: “Sebenarnya, siapa sahaja yang menang adalah orang yang layak mendapatkannya,” kata Puig.

“Tetapi menurut pendapat saya, dan saya sedar dengan apa yang saya nak katakan, anda pasti akan merasa kekok jika anda memenangi perlumbaan tetapi juara bertahan tidak berada di landasan,” katanya.

“Kerana kemudian pemenang akan terus diberi label kemenangan tanpa Marc, dan itu akan ada di fikiran orang,” tambahnya.

Jack Miller menjadi salah seorang pelumba yang tidak teragak-agak untuk menunjukkan ketidaksetujuan beliau ke atas kenyataan Alberto Puig.

Menurutnya, pernyataan Puig mengenai gelaran dunia tanpa Marc Marquez adalah tidak tepat dan ia adalah pernyataan yang mengelirukan.

Malah Miller turut menegaskan kenyataan Puig itu seolah olah para pelumba ada hati busuk mengharapkan ada pelumba lain yang akan cedera dan kemalangan.

Sejarah dalam perlumbaan MotoGP sebelum ini menunjukkan ramai pelumba yang terlepas kejuaraan kerana kemalangan.

Namun mereka tetap menganggap ia sebahagian daripada perlumbaan ini.

Miller turut menambah semua pelumba juga mempunyai risiko yang sama dengan Marc dari segi kemalangan.

“Saya pernah mendengar seseorang mengatakan tentang memenangi gelaran juara dunia musim ini (tanpa Marc) – sama ada ia harus dikira kejuaraan yang sebenar – dan pada pendapat saya adalah satu kesilapan,” kata Jack Miller, yang dipetik oleh SportFEAT.com dari Autosport.

“Kita semua di sini juga mempunyai dan berdepan dengan risiko yang sama untuk cedera dan itu sudah menjadi risiko kita sebagai pelumba,” tambah beliau lagi.

Marc Marquez merupakan pelumba paling dominan dalam tujuh tahun terakhir.

Sejak debut di kelas utama pada tahun 2013 yang lalu, dia terus berjaya menjadi juara dunia.

Setakat ini dia telah memenangi enam gelaran dunia MotoGP dan dua gelaran juara dunia Moto2 – secara keseluruhannya.

Satu-satunya tahun yang gagal dimenangi oleh Marquez adalah pada tahun 2015 ketika Jorge Lorenzo menjadi pemenang.

Walaupun begitu, sejak akhir akhir ini, sudah ada ramai pemerhati menyatakan Repsol Honda merupakan pasukan yang biasa sahaja.

Ini kerana setakat ini pasukan pengeluar Jepun itu cenderung hanya bergantung pada Marc Marquez untuk memenangi gelaran juara dunia, kedua-dua kategori pelumba, pasukan dan pembuat.

Malah ada yang melabel Repsol Honda hanya memikirkan Marc Marquez berbanding dengan pelumba kedua mereka.

Marquez baru sahaja menarik diri daripada perlumbaan GP Andalusia kerana merasakan kesakitan yang semakin teruk ketika beliau menunggang motosikal dalam sesi latihan.

Honda menganggap itu adalah keputusan terbaik ketika ini walaupun Marc Marquez sudah berusaha untuk terlibat dalam perlumbaan ini, hanya beberapa hari selepas pembedahannya.

Baca yang lain