Milner Dedahkan Cara Klopp Bagi Hukuman ‘Mesra’ Untuk Pemain Buat Hal

James Milner merupakan bekas pemain Liverpool yang sangat berpengaruh di bilik persalinan Liverpool di bawah Jurgen Klopp.

Dia antara pemain yang diberikan kuasa untuk memantau pemain pemain lain seperti seorang pengawas.

Milner menyatakan di Liverpool, Klopp ada cara tersendiri untuk berdepan dengan pemain pemain generasi baharu. Di mana era berbeza membuatkan cara berbeza diperlukan.

Klopp seorang yang sangat tegas soal disiplin. Namun pada masa yang sama dia tak mahu pemain yang bermasalah disiplin ini terus dipadang hina oleh rakan rakannya yang lain.

Biasanya untuk kes disiplin, pemain akan dipanggil ke pejabat untuk sesi ceramah disiplin oleh Klopp. Namun selepas itu pemain ini perlu menjalani hukuman di hadapan pemain lain.

Bagi kes lewat, pemain biasanya akan terus tahu mereka akan berdepan dengan rakan rakan mereka untuk menerima hukuman menerusi satu ‘mahkamah’.

Namun hukuman ini lebih mesra. Kerana Milner berkata, hukuman akan bergantung kepada hasil balingan dadu besar.

Dadu besar ini ada beberapa jenis tugasan yang harus dibuat pemain. Jika mereka menyelesaikannya, maka mereka tidak perlu menjalani hukuman lain sepert berlari mengelilingi padang atau denda oleh pasukan.

Denda oleh pasukan ini adalah wang yang dibayar pemain kepada tabung denda. Pada akhir musim wang itu akan digunakan sama ada untuk makan makan atau berparti.

Milner menyatakan dadu besar itu adalah dadu yang macam belon, diisi dengan angin. Dia berkata: “Apabila seseorang pemain itu lewat, dia akan dibicarakan di mahkamah kami sendiri. Kami ada dadu angin yang besar. Dan pemain itu harus memutarkannya.”

“Sesiapa sahaja yang gagal melakukan tugasan pada dadu itu biasanya kami akan suruh dia berlari. Kami akan pilih juri pada hari itu untuk menentukan hukuman. Jika saya menjadi juri, saya akan berhujah kenapa pemain ini harus dihukum sekian sekian.”

“Pemain itu akan membela dirinya menyatakan kenapa dia harus dilepaskan daripada hukuman. Jika alasan dia terlalu kukuh, kita lepaskan dia. Jika tidak dia harus memutarkan dadu itu.”

“Dadu itu menentukan jenis hukuman, sama ada dia membayar denda atau benda lain. Ada juga kemungkinan dia membayar denda dua kali ganda. Dan ada kemungkinan dia boleh terlepas hukuman tanpa syarat.”

“Bobby Firmino pernah mendapat tugasan untuk membaling bola tenis ke foam roller dalam keadaan dia berdiri atas swiss ball [bola besar kat gym tu]. Kalau dia berjaya maka dia tak perlu bayar denda.”

Milner berkata, pemain pemain lain terhibur melihatnya dan melupakan bahawa kawan mereka baru sahaja lewat ke latihan.

Cara ini diakui berkesan oleh Milner. Selain daripada pemain dihukum, pemain pemain juga menikmati masa bersama sama dengan aktiviti.

“Ianya bagus untuk kebersatuan dalam pasukan. Saya rasa itu antara perkara penting yang boleh diwujudkan dalam bilik persalinan.”