Mino Raiola Tawarkan Paul Pogba Kepada Liverpool

Isu Paul Pogba mahu keluar dari Manchester United telah lama diperkatakan. Pada setiap jendela perpindahan awal musim para peminat sering didendangkan dengan cerita ini.

Cakap nak pindah, cakap nak keluar tapi tak pernah jadi. Pada setiap musim juga Pogba dilihat tidak pernah memberi komitmen sepenuhnya kepada kelabnya.

Prestasi Pogba turun naik setiap musim, tidak memberi impak dan sumbangan besar dalam perlawanan penting.

Kali ini cerita ini berulang lagi. Peratusan untuk melihat Pogba betul-betul keluar mungkin menjadi kenyataan kerana kontraknya hanya berbaki 1 tahun lagi.

Manchester United tidak mempunyai pilihan banyak selain menjualnya sekarang atau tidak dapat duit langsung pada musim depan.

Ia berikutan Pogba telah menolak sambungan kontrak yang telah ditawarkan oleh Manchester United.

Menurut laporan dari Eurosport, Manchester United bersedia menjadikan Pogba penerima gaji paling tinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL). Kelab mahu menaikkan gaji semasanya dari £290 ribu kepada £400 ribu seminggu.

Kontrak selama 5 tahun bernilai £104 juta.

Untuk rekod pada tahun 2016, Manchester United cukup berhabisan mendapatkan khidmat Pemain tengah Perancis ini dengan memecah rekod dunia £89 juta.

PSG, Real Madrid dan Liverpool

Paris Saint Germain (PSG) dan Real Madrid antara 2 kelab yang kuat dikaitkan bakal mendapatkan Pogba.

Manchester United dilaporkan sedia menjualnya pada harga diskaun £50 juta kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk membelinya.

Jalan Pogba untuk ke PSG sedikit berliku apabila penyokong kelab itu tidak mahukannya. Pada beberapa hari lepas mereka telah memasang kain rentang berhampiran Parc des Princes dengan tulisan ‘Pogba kamu kena dengar cakap mak kau, dia tak nak kau datang sini.’

Kemarahan itu berpunca dari kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Pogba pada tahun 2018. Pada ketika itu Pogba berkata dia tidak tertarik untuk menyertai PSG kerana ibu seorang peminat tegar Marseille.

Potensi Pogba untuk ke Real Madrid juga tipis kerana semua tahu ejennya si Mino Raoila merupakan mata duitan yang hanya melayan bisnes mega termasuk komisen sana sini.

Apa yang mencuri tumpuan, menurut satu laporan sensasi Paul Pogba telah ditawarkan kepada Liverpool. Menurut Le10Sport adalah tidak mustahil untuk Pogba menyertai Liverpool.

Ejen kontroversi Raiola telah menawarkan pemain Perancis itu kepada The Reds dan memberitahu mereka bahawa rundingan boleh dilakukan sekarang.

Situasi Liverpool, Jurgen Klopp sedang mencari pemain tengah yang baru bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Gini Wijnaldum yang telah pergi ke PSG secara percuma.

Menurut laporan tersebut nama Pogba telah disebut-sebut dibelakang tabir sebagai calon untuk menggantikan Wijnaldum.

Bagaimanapun Liverpool dikatakan tidak berminat melakukan sebarang urusan pembelian pada jendela perpindahan kali ini. Tetapi mungkin mempertimbangkan pada Januari nanti.

Pada ketika itu kontrak Pogba tinggal lagi 6 bulan dan harganya akan menjadi lebih murah.

Sikap Raiola yang suka main belakang pernah berlaku pada bulan April 2018. Ketika itu Manchester United turun dalam perlawanan Derby bertemu Manchester City.

Pogba telah menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut dan Pep Guardiola telah mendedahkan Raiola menawarkannya Pogba dan Henrikh Mkhitaryan kepadanya pada jendela pertengahan musim itu.

Dalam rekod lain, Phill Chisnall merupakan pemain Manchester United terakhir yang dijual kepada Liverpool secara langsung. Bisnes perpindahan itu berlaku pada tahun 1964 melibatkan harga £25 ribu.

Selepas itu tidak pernah lagi berlaku urusan seperti itu dan kali terakhir Sir Alex Ferguson menolak tawaran Liverpool mendapatkan Gabriel Heinze kerana tidak mahu menjual pemainnya kepada pesaing utamanya itu.