Monza Pecat Stroppa, Ikon Bola Sepak Yang Membawa Mereka Naik Serie A Pertama Kali Dalam Sejarah

Kelab Serie A, Monza telah memecat jurulatih Giovanni Stroppa. Kelab itu mengumumkan pada hari Selasa selepas permulaan buruk untuk musim pertama Serie A mereka menyebabkan mereka berada di tangga tercorot.

Dalam satu kenyataan, Monza berkata bekas jurulatih pasukan remaja kelab itu, Raffaele Palladino akan mengambil alih pasukan itu.

Stroppa membawa Monza ke Serie A buat pertama kali dalam sejarah kelab mereka. Dia dianggap ikon bola sepak Monza kerana kejayaan itu pada musim lalu.

Stroppa merupakan bekas pemenang beberapa piala bersama AC Milan ketika masih bermain.

Walaupun dijulang sebagai wira musim lalu, beliau tetap dipecat selepas hanya mengutip satu mata daripada enam perlawanan pembukaan mereka di liga teratas.

Ianya tidak mencukupi untuk meyakinkan pemilik, bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Ada peminat merasakan bahawa pemecatan Stroppa agak tergesa gesa kerana dia baru mendapat pemain yang dia mahukan dan dalam proses untuk mengadun pemain lama dan baharu.

Ia juga kos yang tinggi harus dibayar Stroppa yang membeli ramai pemain musim ini.

Monza membeli hampir keseluruhan pasukan baharu selepas dinaikkan pangkat melalui play-off, menandatangani pemain yang berpengalaman luas di bahagian teratas seperti Andrea Ranocchia, Stefano Sensi, Matteo Pessina dan Alessio Cragno.

Berlusconi merasakan bahawa Stroppa harus bertanggungjawab di atas kehambaran prestasi mereka kerana dia sudah mendapat pemain pemain yang dia mahukan.

Monza masih berada di liga ketiga apabila taikun media, Berlusconi membeli kelab itu pada 2018 dengan harga sekitar 3 juta euro.

Di bawah pemilikannya, AC Milan pernah menjadi salah satu daripada gergasi bola sepak Eropah, memenangi lima Piala Eropah dan lapan gelaran Serie A selama lebih tiga dekad.

Baca yang lain