MotoGP Mahu Kerajaan Malaysia Beri Pengecualian Kuarantin Wajib Sempena Latihan Pra Musim Di Sepang

Pandemik yang melanda dunia masih belum lagi berakhir, dan masih jauh daripada menemui penyelesaiannya.

Menurut laman Motorsports– MotoGP sudah merancang Ujian Pra Musim Musim MotoGP 2021 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, Malaysia. Kini pihak MotoGP dalam proses akhir untuk persediaan dan berbincang dengan kerajaan Malaysia.

Harap maklum, Litar Antarabangsa Sepang telah menjadi tempat ujian pra musim selama empat tahun terakhir. Litar Sepang dianggap antara litar terbaik untuk ujian pra musim. Kerana cuaca di Malaysia yang mencabar serta fasiliti yang terbaik ada di sana.

Namun, rancangan untuk mengadakan ujian pra-musim untuk MotoGP 2021 kini berdepan dengan halangan kerana polisi ketat dari Kerajaan Malaysia.

Buat masa ini, setiap individu yang datang dari luar Malaysia wajib menjalani kuarantin wajib selama sekurang-kurangnya tujuh hari.

Setelah tamat kuarantin para pelawat dari luar negara perlu menjalani ujian dan disahkan negatif  wabak. Barulah mereka boleh bergerak di dalam negara ini.

MotoGP sedar bahawa polisi ketat itu mungkin akan menghalang usaha mereka untuk mengadakan sesi ujian di Litar Sepang.

Pihak MotoGP sedang berusaha untuk berunding dengan kerajaan Malaysia agar memberikan fleksibiliti kepada gelembung MotoGP yang diwujudkan di kalangan staf dan pelumba sahaja.

Gelembung ini sudah wujud sejak perlumbaan musim ini lagi. Di mana setiap orang dalam gelembung ini tidak boleh keluar. Jika keluar, mereka perlu menjalani kuarantin dahulu dan disahkan negatif baru boleh masuk semula.

Dorna Sports, IRTA, dan Datuk Razlan Razali, mantan CEO Litar Antarabangsa Sepang, sedang berusaha mendapatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia.

Ini bertujuan agar semua orang yang terlibat dalam Ujian Pra Musim Musim MotoGP 2021 dikecualikan dari peraturan kuarantin wajib.

Sistem gelembung yang diterapkan oleh MotoGP ke semua siri sepanjang musim lalu, dipercayai akan kembali berkuat kuasa bermula di latihan pra musim di Malaysia.

Selain mengulangi penggunaan sistem gelembung, jumlah anggota pasukan yang dapat menghadiri Litar Antarabangsa Sepang juga akan dikurangkan. Jumlahnya mungkin kurang dari maksimum 40 untuk pasukan pengeluar dan 25 untuk pasukan satelit.

Usaha tersebut perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua yang terlibat dalam MotoGP.

Walaupun pada ketika ini, segalanya nampak sukar. Namun Kejuaraan Dunia MotoGP 2020 telah berjaya dilangsungkan dengan jayanya. MotoGP yakin pengalaman mereka musim lalu akan digunakan untuk musim hadapan.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, MotoGP kemudian akan berpindah ke Qatar untuk ujian pra-musim kedua pada 10-12 Mac 2021. Ia akan menjadi ujian terakhir sebelum aksi pembukaan di Litar Antarabangsa Losail pada 26-28 Mac.

Ada 20 siri perlumbaan untuk musim 2021. Dan paling menarik, legenda Valentino Rossi akan beraksi bersama pasukan satelit buat pertama kalinya.