Mourinho Balas Kecaman Cassano Dengan Tipikal ‘Special One’

Jose Mourinho telah menembak Antonio Cassano secara terbuka kerana komen celupar bekas pemain AS Roma dan Real Madrid itu ke atasnya.

Mourinho kali ini jelas sudah tak tahan Cassano yang berterusan mengkritiknya.

Cassano dikenali dengan sikapnya yang suka memberikan komen pedas dan kontroversi. Kali ini memilih untuk menujukan kritikannya ke atas Mourinho.

Cassano menuduh Mourinho sebagai seorang jurulatih yang suka berlakon dan bermuka muka.

Mourinho kemudian membalas: “Sesetengah daripada kita bekerja keras dalam bola sepak, dia [Cassano] pula hanya mahu berseronok untuk dirinya sendiri.”

Ketegangan antara Cassano dan Mourinho telah memuncak sejak beberapa lama dan meletus lagi minggu ini apabila Cassano mengkritik Mourinho semasa penampilan BoboTV bersama Christian Vieri.

Cassano kekal dengan pandangannya ke atas Mourinho  sebagai “tidak mempedulikan bola sepak, semuanya hanyalah wayang untuknya” dengan sidang akhbar dan telatah pengurus itu di tepi padang.

Berikutan kemenangan 1-0 di tempat lawan hari ini kepada Torino yang meletakkan Giallorossi di tempat ketiga dalam carta Serie A, Mourinho memberikan respons.

“Semua orang bebas untuk mempunyai pilihan mereka dan meluahkan kritikan mereka, tetapi apabila bercakap tentang orang lain, seperti Antonio, ia berbeza,” kata Special One dalam sidang akhbar.

“Sesetengah daripada kita bekerja dalam bola sepak, dia hanya mahu berseronok.”

“Cassano bermain untuk Roma, untuk Inter dan untuk Real Madrid. Di Madrid dia hanya diingati kerana jaketnya.”

“Bersama Roma dia memenangi Supercoppa tanpa bermain pun. Di Inter, dia tidak pernah memenangi Piala Lombardy sekalipun dalam perlawanan persahabatan.”

“Anda tahu apa yang saya menang dengan Inter, Real Madrid dan Roma. Dia mungkin ada masalah dengan saya, saya tidak ada masalah dengan dia.”

‘Jaket’ itu merujuk kepada jaket  berbulu yang dipakai Cassano ketika pertama kali tiba untuk menandatangani kontrak dengan Real Madrid.

Mourinho kemudian menggunakan satu lagi rujukan pelik dalam sindirannya iaitu Marko Livaja. Yang merupakan bekas rakan sepasukan Cassano.

“Saya akan memberitahu Cassano hanya satu perkara: Antonio berhati-hati, kerana kamu sudah berumur 40 tahun dan saya pula sudah berusia 60 tahun, kadang-kadang jenis Marko Livaja muncul [dari diri saya] dan kemudian ia menjadi sukar.”

Mourinho memetik nama Livaja, mungkin kerana khabar angin mengatakan kedua-dua pemain panas baran itu bertelagah semasa sesi latihan ketika mereka bersama di Inter.

Tidak jelas bagaimana Mourinho mengetahui perkara ini, memandangkan dia tidak pernah bekerjasama dengan Cassano dalam skuadnya.

Baca yang lain