Mourinho Kongsi Kisah Maicon Minta Cuti

Jose Mourinho berkongsi satu kisah lucu dan menarik tentang Maicon. Maicon merupakan pemain penting Mourinho ketika di Inter.

Dan dia juga antara bek sisi terbaik pada zaman kemuncak prestasinya.

Di mana pemain itu telah berunding dengannya agar dia sengaja mendapatkan kad kuning untuk membolehkan dia digantung perlawanan pada Krismas. Jika digantung, dia mahu pulang ke Brazil dan bercuti raya bersama keluarganya.

Namun Mourinho jelas sekali tidak gembira dengan idea tersebut. Dan meletakkan syarat yang sukar dicapai untuk seorang pemain pertahanan.

Mourinho meminta Maicon menjaringkan, bukan 1 tetapi 2 gol menentang Sienna baru dia boleh bercuti tanpa perlu mengorbankan dirinya menerima kad kuning.

Pemain itu setuju, dan ajaibnya Maicon benar benar menjaringkan dua gol.

Maicon menjaringkan gol pembukaan untuk Inter dalam perlawanan itu, minit ke-34.

Namun sebelum rehat, pada minit ke-44, Sienna menyamakan kedudukan menerusi Kharja.

Ketika perlawanan seolah olah akan berakhir seri 1-1, Maicon menjelmakan magisnya dengan gol kemenangan lewat perlawanan pada minit ke-83.

Di mana dia telah berlari ke arah penjaga gol dan melakukan lob ala seorang no.9.

Mourinho dan kem Inter meraikan gol itu dengan girang sekali. Bagi Maicon pula dia meraikan gol itu dan cuti Krismasnya seperti dijanjikan agar dia dapat pulang ke Brazil.

Dia sempat membuka jersinya, dan ya! Dia turut mendapat kad kuning.

Mourinho mengimbas kembali peristiwa itu: “Saya ingat lagi, di Sienna, dengan Maicon. Dia berkata kepada saya, kalau dia dapat kad kuning kelima terkumpul dia akan digantung aksi pada Krismas. Dia memerlukan 1 kad kuning lagi.”

“Dia bercadang untuk mendapatkan 1 kad kuning agar dia boleh digantung perlawanan pada Krismas dan boleh balik bercuti perayaan di Brazil.”

“Saya berkata kepadanya, dia tak akan mendapat cuti langsung jika dia mendapat 1 lagi kad kuning. Saya bukannya bodoh.”

“Dan dia bertanya, macamana kalau dia menjaringkan gol? Saya kata, tak! Kecuali kamu menjaringkan dua gol baru boleh.”

“Dalam perlawanan itu, dia menjaringkan dua gol.”

“Dan dia membuka jersinya, menerima kad kuning. Dan kemudian dia pergi balik bercuti. Saya turut memberikan dia cuti lebih selama seminggu lagi.”

Korang boleh saksikan rangkuman aksi itu di sini: