Mourinho Tak Terkejut Jepun Kitai Jerman: “Eropah Pentingkan Kualiti Individu & Ego, Asia Pentingkan Pasukan”

Jose Mourinho menyatakan dia tidak terkejut dengan kemenangan Jepun ke atas Jerman. Sambil dengan nada sinis menyindir media Eropah seolah olah masih berada di takuk lama, memandang bola sepak Asia jauh ke belakang.

Menurut Mourinho bola sepak Asia sudah banyak berubah. Jadi bukanlah sesuatu mengejutkan untuk melihat pasukan seperti Jepun menang ke atas Jerman.

Jurulatih AS Roma itu bercakap tentang kemenangan Jepun ke atas Jerman dalam Piala Dunia.

Menurutnya, pasukan pasukan Eropah terlalu menekankan aspek individu berbanding permainan berpasukan.

Jadi, kadangkala perkara itu akan memakan diri.

Mourinho mengakui dia agak kecewa kerana terlepas menonton aksi Jepun dan Jerman kerana terlalu letih ketika tiba di negara itu untuk aksi persahabatan sempena rehat Piala Dunia bagi pemain pemain yang tidak terlibat.

“Saya tidak melihat perlawanan itu, saya berada di atas katil, televisyen dihidupkan tetapi saya tertidur, saya sangat kecewa. Tahniah kepada Jepun, tetapi ia bukanlah satu kejutan besar, mereka adalah pasukan yang bagus yang sedang berkembang.”

“Saya fikir mentaliti pemain dan pasukan juga boleh memberikan perbezaan. Pada masa ini, dalam bola sepak Eropah, terdapat tumpuan besar pada kualiti individu, dan tumpuan besar pada ego.”

“Dan apabila saya melihat profil anda [Jepun] sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara… Saya tidak pernah melatih pemain Jepun, tetapi saya pernah melatih pemain Asia. Dalam kes saya, saya bertuah kerana saya melatih pemain terbaik Asia.”

“Saya faham bahawa mentaliti itu benar-benar istimewa – bahawa PASUKAN adalah perkara yang paling penting. Pemain bermain untuk pasukan, dan mereka tidak bermain untuk diri mereka sendiri.”

“Mereka [Jepun] mempunyai mentaliti yang betul, sebab itu saya fikir semalam bukanlah satu kejutan yang besar.”

“Sudah tentu sahaja itu satu pencapaian yang sangat besar. Namun itu bukanlah perkara yang benar benar memeranjatkan kerana Jepun memiliki pasukan yang sangat bagus.”

Mourinho tidak menolak kemungkinan akan mengendalikan pasukan seperti Jepun pada suatu hari nanti.

“Dalam bola sepak jangan pernah katakan tidak.”

“Tetapi saya rasa pasukan kebangsaan Jepun tidak memerlukan saya, mereka mempunyai jurulatih pada tahap yang tersendiri. Dalam bola sepak, sukar untuk bercakap mengenai projek, tetapi ia kelihatan sukar bagi saya.”

Dia memberikan pandangannya tentang perlawanan persahabatan Giallorossi menentang Yokohama F. Marinos dan Nagoya Grampus.

“Marinos adalah juara, mereka mempunyai lebih kualiti dan imaginasi ke hadapan. Nagoya pasukan yang teratur, saya menjangkakan perlawanan yang sukar. Saya kehilangan pemain dan jet-lag dan itu jelas tidak membantu.”

 

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.