MSL: Shahrul Saad Optimis Peluang Perak Tamatkan Dominasi JDT

Pengenalan format separuh liga bagi saingan Liga Super 2020 yang dijangka kembali bersambung pada September ini adalah peluang terbaik bagi Perak menamatkan penantian kejuaraan sulung liga sejak diperkenalkan pada 2004.

Selain itu, ia juga peluang keemasan bagi skuad ‘The Bos Gaurus’ memburu slot automatik ke kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021, andai berjaya merangkul kejuaraan tersebut.

Ketua pasukan, Shahrul Mohd Saad berkata beliau optimis skuad Perak mampu meraih keputusan positif dalam baki tujuh perlawanan liga bagi memberi saingan sengit kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas empat perlawanan, JDT masih mengungguli carta Liga Super dengan kutipan 10 mata, manakala Perak berada di tangga kedua setelah mengumpul lapan mata.

“Melalui format satu pusingan ini, satu peluang kepada kami untuk cuba dapatkan sesuatu pada saingan Liga Super, cuma tidak boleh ada ruang untuk terlepas sebarang mata memandangkan tidak banyak perlawanan tinggal, selain mengharapkan rentak yang sama mampu diteruskan seperti di awal musim.

“Namun apa yang akan menjadi kuncinya nanti ialah sejauh mana cepatnya pemain boleh mendapatkan kecergasan selepas berehat panjang sejak beberapa bulan, jadi perkara ini menimbulkan sedikit kebimbangan,” jelas Shahrul dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pada Selasa.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Perak adalah muncul naib juara Liga Super pada musim 2006/2007 dan 2018.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan pemain pertahanan kebangsaan memuji usaha MFL untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang sebelum ini terpaksa dihentikan susulan penularan wabak COVID-19.

MFL pada Jumaat lepas, mengumumkan perubahan format Liga-M 2020 setelah mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pentadbir Liga-M itu merancang meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga bermula 1 Sept, dan bakal berakhir pada 27 Sept ini.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Okt hingga 7 Nov, manakala kempen Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan susulan kekangan masa.

Sumber: Bernama

Baca yang lain

Bayern Mahu De Zerbi

Roberto De Zerbi dikaitkan dengan Bayern Munich sebagai calon pengganti Thomas Tuchel. Tuchel akan meninggalkan Bayern pada akhir musim ini. Dengan beberapa

Ten Hag Kritik Pressing Sebelah Kiri

Erik Ten Hag mengkritik mutu pertahanan sebelah kiri pasukannya ketika menentang Fulham. Ini kerana arah tersebut sangat lemah ketika bertahan terutama sekali