MU Sudah Selesaikan Hutang RM915K: ‘Kita Bukan Scammer’

MELAKA, 11 Feb — Biarpun berdepan masalah kewangan, Melaka United FC (MUFC) Sdn Bhd tetap optimis akan melunaskan tunggakan gaji pemainnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Dalam nada kesal, beliau turut menyelar dakwaan pihak tertentu yang menyifatkannya berbohong, ketika membuat pengumuman telah menyelesaikan hutang tertunggak pemain membabitkan sejumlah kira-kira RM915,000 semalam.

“Kita mempunyai bukti semua pembayaran telah dibuat dan kami tidak akan keluarkan kenyataan tersebut sekiranya pembayaran itu belum dilakukan, namun mungkin berlaku sedikit kelewatan di pihak bank menyebabkan ia sedikit lewat diterima pemain terbabit.

“Kita bukan penipu, walaupun berdepan situasi sukar membabitkan aspek kewangan, kita berjaya juga menyelesaikannya,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak pemain import baharu Melaka United FC di Ayer Keroh.

Luahan Mohd Saiful itu susulan kenyataan pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi akaun Twitter yang mendakwa, ahli persatuan mereka masih belum menerima bayaran seperti yang diumumkan MUFC.

Mengulas lanjut Mohd Saiful berkata, kenyataan itu dikeluarkan secara melulu dan ia boleh memburukkan imej kelab bola sepak berkenaan, memandangkan pihaknya mempunyai bukti pembayaran hutang.

Beliau berkata pihak PFAM seharusnya, menghubunginya atau wakil pasukan terlebih dahulu bagi mendapatkan perkembangan tersebut, kerana tindakan sedemikian hanya akan menjatuhkan reputasi pasukan dan negeri.

“Kita tahu mereka menjaga kebajikan pemain, tetapi mereka juga perlu adil kepada MUFC,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Melaka United Football Club (MUFC) hari ini mendapatkan khidmat dua pemain import baharu bagi memperkuatkan lagi pasukan itu, untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijangka bermula 5 Mac depan.

Dua pemain berkenaan ialah penyerang kelahiran Brazil Alex dos Santos Goncalves, serta pemain kebangsaan Filipina Manuel Gelito Ott, yang mengisi kuota pemain import ASEAN.

Majlis menandatangani pemain-pemain disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada satu majlis ringkas di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Untuk rekod, Alex Goncalves, 30, berhijrah dari kelab Liga 1 Indonesia Persikabo 1973 dan sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Brazil, Romania, Turki dan Indonesia, manakala penampilannya bersama Melaka United FC adalah penyertaan pertamanya dalam kempen Liga-M.

Sementara, pemain tengah Manuel Gelito Ott atau lebih dikenali sebagai Manny Ott, sebelum ini beraksi bersama kelab Filipina Ceres Negros.

Manny, 28, yang mewakili negaranya sejak 2010, merupakan pemain berdarah kacukan Jerman dan Filipina, selain pernah beraksi bersama kelab Liga 1 Thai Ratchaburi Mitr Phol.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata, pengalaman dan ketangkasan yang dimiliki kedua-dua pemain tersebut akan membantu memantapkan lagi persediaan Melaka United, menghadapi saingan Liga-M musim ini.

“Kita percaya kehadiran tonggak import baharu dan serta pemain import yang dikekalkan, akan dapat memacu kecemerlangan bola sepak Melaka sepanjang musim ini.

“Saya juga yakin kesemua pemain dibawa masuk dan dikekalkan merupakan pilihan yang tepat, setelah dikaji dari pelbagai sudut oleh pihak pengurusan,” katanya.

Dalam pada itu, MUFC turut mengumumkan pelanjutan kontrak dua pemain import musim lalu, pemain kebangsaan Haiti Sony Norde, dan pemain pertahanan dari Korea Selatan Jang Suk-Won.

Turut menandatangani kontrak hari ini ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, yang akan menyarung jersi pasukan itu untuk dua musim sehingga 2022, manakala pemain pertahanan Razman Roslan menandatangani kontrak selama semusim.

Difahamkan, Melaka United juga bakal mendapatkan khidmat pemain import baharu dari Montenegro Stefan Nikolic, yang sedang menjalani proses kuarantin di ibu negara ketika ini.

— BERNAMA

Baca yang lain

Bayern Sedia Lantik Semula Nagelsmann

Bayern Munich dilaporkan mempertimbangkan untuk membawa pulang Julian Nagelsmann dan pembantunya, Sandro Wagner ke kelab itu menggantikan Thomas Tuchel. Nagelsmann pernah menjadi