Melaka United (MU) berdepan dengan isu tunggakan gaji belum pun musim baharu bermula.
Beberapa hari lalu, bekas pemain pertahanan Melaka, Khairul Helmi mendesak pengurusan Melaka agar melunaskan tunggakan gajinya untuk 4 bulan.
Dipetik dari Astro, Khairul berkata: “Sampai sekarang saya masih berusaha untuk dapatkan (baki gaji), pemain masih tunggu. Tidak tahu sampai bila dan harap Melaka dapat selesaikan segera sebab ini sudah memasuki musim baru.”
“Ada pemain yang kekal dan ada yang sudah bawa haluan masing-masing.”
“Saya tidak tahu tarikh sebenar yang mereka janjikan, saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” tegas pemain yang disapa dengan Keon itu.
Khairul Helmi nyatakan gaji dia selama 4 bulan still tertunggak, apa niii ish ish ish 😓@MelakaUnitedFC pic.twitter.com/feF95qSzE8
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 10, 2022
PFAM bagi amaran
PFAM kemudian menyatakan solidariti mereka buat Melaka United. Dalam kenyataannya, PFAM berkata: “Kami di PFA Malaysia ingin menyatakan solidariti kami kepada para pemain Skuad Utama Melaka United FC dan juga Pemain Skuad Piala Presiden Melaka United FC.”
“Bagi makluman, tunggakan Skuad Utama adalah sebanyak 3 bulan dan tunggakan bagi Skuad Piala Presiden adalah sebanyak 2 bulan setengah.”
“PFA Malaysia telah pun menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.”
“PFA Malaysia ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan merupakan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United. Para pemain telah pun memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera.”
Respon Melaka United
Selepas beberapa jam kemudian MU tampil dengan kenyataan bahawa mereka dalam proses akhir pensrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.
Pada masa yang sama, Melaka United tetap cuba memastikan perancangan musim 2022 akan terus berjalan lancar seperti yang mereka rancang.
Melaka United berkata: “Berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United FC musim 2021, kelab bolasepak Melaka United FC kini sedang dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.”
“Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan Melaka United FC bagi tahun 2022 berjalan lancar.”
“Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada para pemain dan pegawai Melaka United FC.”
“Sokongan daripada semua pihak khususnya para penyokong amat kami hargai dan semoga 2022 menjadi tahun yang gemilang buat Melaka United FC.”