Mulianya Hati Seorang Ruben Amorim, ‘Payung’ Staf Man United Pergi Ke Bilbao Pakai Duit Sendiri

Dalam dunia bola sepak moden yang penuh dengan jutaan pound dan kontrak mega, jarang sekali kita tengok pengurus yang benar-benar ada hati dan ada jiwa terhadap kelab.

Tapi Ruben Amorim, pengurus Manchester United yang baru itu menunjukkan bahawa dia adalah manusia luar biasa. Tindakannya mungkin kurang digemari Sir Jim Ratcliffe kerana boleh dianggap satu kritikan sinis kepada dasar baharu kelab itu.

Sir Jim Ratcliffe dilaporkan menarik semua subsidi dan pembiayaan lain seperti tiket perlawanan final atau penginapan staf yang bertandang ke aksi final UEL di Bilbao.

Sebenarnya, langkah ini sudah diambil sejak tahun lalu lagi. Di mana United tidak lagi menanggung kos pengangkutan, hotel atau makan staf ketika aksi final. Malah, tiket final pun staf kena beli sendiri. Namun ketika itu untuk staf kejurulatihan dan teknikal, mereka masih  dibiayai kelab.

Baru-baru ni, menurut laporan ESPN dan sumber-sumber rapat, Amorim sendiri yang keluar duit poket peribadi dia untuk pastikan 30 orang staf dan keluarga mereka dapat pergi ke perlawanan akhir Liga Europa di Sepanyol.

Ya, Amorim pakai duit poket dia sendiri, bukan bajet daripada kelab. Bukan tiket sahaja, malah sekali dengan kos perjalanan ke Bilbao, Sepanyol.

Kenapa Sampai Amorim Sendiri Kena Bayar?

Seperti dinyatakan di atas, polisi baharu kelab itu membuatkan staf ini tidak menerima sebarang keistimewaan lagi. Namun  Amorim merasakan bahawa staf pun perlu dihargai kerana mereka banyak membantu pasukan.

Bandingkan dengan Tottenham Hotspur – mereka bagi tiket percuma kepada kira kira 700 orang staf. Jadi, kenapa tidak  kelab yang segah Man United melakukannya?

Kini polisi tersebut mulai diamalkan untuk staf di belakang tadbir pula. Bukan sekadar terpakai kepada staf mak cik kantin, akan ofis dan staf pentadbiran semata mata.

Amorim  segera bertindak tanpa  menunggu pengurusan tertinggi membuat keputusan baharu tentang perkara itu. Dia memutuskan untuk membayar semua perbelanjaan staf di belakang tadbir.

Amorim mendapat tahu bahawa staf staf ini tidak diberikan subsidi lagi selepas ada 30 sokongan di bahagian fisionya yang menyatakan bahawa mereka menanggung sendiri kos ke Bilbao.

Jadi, Amorim memutuskan untuk mengeluarkan duit poket sendiri. Ini bukanlah kerana dia nak tunjuk hero. Sebaliknya dia melakukannya tanda hormat kepada staf yang banyak membantu dia dan jurulatihnya.

Tanda dia tahu nilai sebenar pasukan – bukan hanya yang kat padang, tapi juga yang siang malam bekerja di sebalik tabir.

Man United terus berdepan kritikan kerana layanan ke atas staf

Lagipun sudah banyak keistimewaan staf ditarik oleh kelab  ke atas staf mereka selama ini. Ini termasuk tidak boleh lagi makan di kantin pasukan secara percuma. Tiada lagi diskaun khas kepada staf yang membeli barangan kelab di kedai rasmi Man United.

Amorim merasakan ianya detik sangat sukar untuk staf United. Sehingga legenda kelab seperti Gary Neville tampil mengkritik kelab itu kerana polisi sebegitu.

Lebih lebih lagi, dilaporkan 200 orang staf lagi sedang berdepan pemberhentian kerana pemotongan kos yang berterusan dibuat Sir Jim Ratcliffe. Sejak tahun lalu sudah beratus staf kehilangan kerja mereka.

Sebelum ini Amorim sempat merasa bersalah di atas apa yang berlaku: “Jika staf ini diberhentikan, ada salah saya juga di situ, kerana prestasi pasukan saya di atas padang.” Padahal Amorim sebenarnya baru mengambil alih United beberapa bulan lalu.

Langkah memberhentikan staf ini sudah dirancang lebih awal. Malah Sir Alex Ferguson  pun terkena tempiasnya apabila legenda kelab itu kehilangan jawatannya sebaga duta khas kelab. Man United sudah tidak sanggup membayar £3 juta untuk SAF setiap musim.