MUSA Umum Ambil Alih MU Musim Depan, Mahu KenTeam Bayar LHDN, KWSP Lebih Setengah Juta Ringgit

Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) menerusi kenyataan tuan Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad mengesahkan bahawa MUSA akan mengambil alih Melaka United (MU) bermula musim hadapan bagi mengelakkan isu masalah tunggakan gaji yang sering membelenggu pasukan tersebut.

Datuk Nur Azmi mengesahkan bahawa pengurusan baharu itu nanti akan ditunjangi oleh 4 syarikat swasta yang akan membantu dalam hal ehwal pengurusan kelab mereka.

Dipetik dari BERNAMA, Datuk Nur Azmi berkata:  “Langkah ini bagi memastikan pasukan Melaka United dapat terus bersaing dalam Liga Super tahun depan selain kita akan membincangkan secara terperinci bersama Exco serta semua pihak terlibat untuk mencari langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah kelab.

“MUSA akan memegang saham sebanyak 40 peratus manakala 60 peratus pula akan dikongsi oleh empat syarikat swasta yang akan diputuskan nanti.”

Nur Azmi menghadiri Kongres Luar Biasa (AGM) MUSA bagi mengesahkan pelantikan beliau sebagai Presiden MUSA yang baharu menggantikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Memberikan komen beliau tentang isu tunggakan gaji pemain dan pegawai, Nur Azmi berkata pihaknya akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Seri Justin Lim yang merupakan pemilik KenTeam Sdn Bhd.

Perbincangan itu diharap akan dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan staf kerana pada masa ni, MUSA tidak terlibat dalam pembayaran gaji pasukan.

Nur Azmi turut mendesak KenTeam untuk melunaskan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan kos lebih daripada RM600,000.

Dipetik dari sumber yang sama, Nur Azmi menegaskan: “Saya telah lihat surat perjanjian yang ditandatangani pada 14 Ogos 2020 itu. Banyak perkara berkaitan pasukan tidak melibatkan MUSA, jadi pada masa akan datang kita akan lebih telus supaya isu ini tidak akan terus berulang.”

Akhir sekali Datuk Nur Azmi mendedahkan bahawa KenTeam hanya membayar gaji pemain selama sebulan dan bukannya 3 bulan seperti yang sepatutnya. Itu adalah sebab utama kenapa MFL menghalang mereka daripada beraksi dalam Piala Malaysia musim ini. Keputusan tersebut sudah pun dimuktamadkan.

Rujukan BERNAMA

Baca yang lain