Netizen Risau Tengok Akak Stadium Masih Cuba Make Up Padang Bukit Jalil

Peminat bola sepak tanah air risau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin tidak cukup bagus untuk menganjurkan aksi final Piala Malaysia 2023 pada Jumaat ini.

Aksi final kali ini melibatkan JDT dan Terengganu. Beberapa hari lalu, TMJ memperli Hans Isaac tentang formula padang yang dicanang oleh tuan presiden Perbadanan Stadium Malaysia itu.

Hans Isaac sebelum ini berkata dia ada formula dan resipi untuk memulihkan padang di Bukit Jalil selepas konsert Coldplay. Mujur konsert Hrithik Roshan dibatalkan.

Netizen berkongsi keadaan terkini padang di Stadium Nasional, hanya 2 hari sebelum sepak mula final Piala Malaysia 2023. Dan inilah keadaannya. Dengan akak akak stadium cuba menutup bahagian padang yang masih ‘mati’ seperti menepek make up padanya.

Mereka juga menganggap dari segi gambaran semasa, padang itu kelihatan tidak rata dan berisiko memudaratkan pemain.

Rata rata peminat bola sepak tidak yakin padang tersebut cukup bersedia untuk digunakan.

Ada juga mengkritik PSM tentang kegagalan mereka mengurus tadbir rumput yang telah didermakan TMJ itu.

Sebelum ini mereka dikecam kerana terus menggunakan stadium Bukit Jalil bagi aksi antarabangsa, hanya beberapa minggu selepas padang itu selesai dipasang rumput zeon zoysia.

TMJ membidas PSM dan FAM yang menurutnya seolah olah tidak tahu bahawa rumput itu ketika itu masih belum cukup kuat dan matang.

Ketika aksi antarabangsa baru baru ini ramai mulai memuji kualiti padang. Namun selepas itu konsert Coldplay pula merosakkan padang tersebut.

Pihak PSM menegaskan bahawa keadaan rumput yang kelihatan mati dan kuning itu perkara biasa. Dan mereka yakin padang itu dapat dipulihkan menjelang final Piala Malaysia 2023.