Kapten Jerman dan Bayern Munich, Manuel Neuer, telah sah terpaksa diketepikan sepanjang musim ini selepas patah kaki ketika bermain ski.
Dia mengalami kecederaan itu ketika bercuti selepas kempen Piala Dunianya bersama Jerman berakhir awal.
Neuer mengambil peluang untuk bercuti bagi merehatkan minda dan fizikalnya. Namun tragedi menimpa penjaga gol veteran itu.
Sebelum ini dia pernah hampir kehilangan tempat dalam pasukan Piala Dunia 2022 Jerman selepas terpaksa membuat pembedahan pada mukanya untuk merawat kanser kulit pada wajahnya.
Dia kemudian melancarkan produk penjagaan kulit wajah dengan kerjasama bersama pakar kulit.
Angelique Kerber started skincare brand called Newkee with German soccer player Manuel Neuer https://t.co/AOT9ic921j
— Women's Tennis Blog (@womenstennis) December 8, 2022
Selepas kempen Piala Dunia yang memalukan, Neuer ibarat jatuh ditimpa tangga. Dia yang cuba mencari ketenangan selepas keadaan bercelaru di kepalanya telah ditimpa masalah lain.
Penjaga gol itu berkata dalam catatan Instagram pada hari Sabtu lalu, bahawa dia menjalani pembedahan pada hari Jumaat.
Siaran itu menunjukkan gambar Neuer di atas katil hospital dengan kaki kanannya berbalut begitu juga dengan tangan kirinya.
“Apa yang boleh saya katakan, akhir tahun ini pasti akan menjadi lebih baik,” tulis Neuer.
“Ketika saya cuba menenangkan kepala saya, dengan melakukan jelajah ski, saya mengalami patah tulang bahagian bawah kaki. ”
“Pembedahan semalam berjalan lancar. Terima kasih banyak kepada doktor! Namun, ia menyakitkan untuk mengetahui bahawa musim ini untuk saya, sekarang sudah berakhir.”
Neuer mempunyai masa rehat selepas Jerman tersingkir dari Piala Dunia peringkat kumpulan. Dia sepatutnya kembali semula ke kem Bayer pada 6 Januari untuk kem latihan musim sejuk pasukan itu.
Pemain berusia 36 tahun itu terlepas beberapa perlawanan untuk Bayern kerana kecederaan bahu pada Oktober, apabila dia digantikan oleh Sven Ulreich.
Dia pulih tepat pada masanya untuk Piala Dunia. Bayern sedang mendahului Bundesliga dengan empat mata sebelum ia disambung semula pada 20 Januari, apabila Bayern bertandang ke RB Leipzig.
Berita itu mengejutkan CEO Bayern, Oliver Kahn yang menyatakan bahawa kelab akan menyokong Neuer sepanjang proses pemulihan pemain itu dan mendoakan pemain itu cepat sembuh untuk segera kembali semula ke gawang Bayern.