Gary Neville berpendapat bahawa Arsenal sedang bergerak mengundur ke belakang di bawah Mikel Arteta musim ini. Dia juga menuduh Arsenal sebagai terlalu obses dan rigid dengan pendekatan bola mati dibimbing oleh Nicolas Jover.
Selepas 2 musim hampir menjuarai kejuaraan, Neville merasakan musim ini Arsenal tidak menunjukkan kemajuan dan mengorak langkah ke belakang.
Arsenal gagal untuk mencipta kemenangan ke atas Brentford setelah melepaskan kelebihan pendahuluan gol mereka.
Skuad Mikel Arteta turun melayan kunjungan Brentford setelah kemenangan bersejarah ke atas Real Madrid di lapangan yang sama beberapa hari lalu.
Seperti dijangka Arsenal tampil dengan aksi sangat dominan. Keseluruhannya mereka menguasai 64% perlawanan dengan melakukan 14 percubaan ke arah gol dan 3 tepat.
Berbanding hanya 3 percubaan daripada Brentford namun 2 adalah tepat.
David Raya menunjukkan kegeniusannya dengan lontaran yang sangat bijak ke arah Declan Rice yang melakukan gerakan pantas ke hadapan sebelum melorongkan kepada Thomas Partey.
Partey yang dalam prestasi terbaiknya ketika ini telah melakukan rembatan deras yang terus masuk menembusi gawang Flekken pada minit ke-61.
Itu adalah gol keempat Partey dalam EPL musim ini. Paling banyak yang dia lakukan dalam semusim, sepanjang dia bersama Arsenal.
Namun gol itu tidak bertahan lama. Kerana pada minitr ke-74, Yoane Wissa menyamakan kedudukan dari jarak dekat. Pertahanan Arsenal agak serabut di dalam kotak penalti dan pemain tersebut segera menghukum mereka.
Tiada tambahan gol selepas itu. Dengan keputusan seri 1-1 kekkal sehingga tamat. Dengan Arsenal terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain setelah Jorginho terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. Dengan Mikel Arteta sudah menggunakan kesemua pemain gantiannya.
Keputusan ini menyaksikan Arsenal kini 10 mata di belakang Liverpool yang akan berdepan West Ham pada hari ini.
Sebelum ini Mikel Arteta pernah berkata, bahawa mereka tak akan sesekali menyerahkkan kejuaraan kepada Liverpool. Dan menambah: “Langkah mayat saya dulu.”
Neville kemudian memberikan ulasan tentang Arsenal. Dia menganggap Arsenal sedang mengundur ke belakang. Dan segalanya boleh dimaafkan jika Arsenal menjuarai UCL musim ini.
Dia berkata: “Segalanya bergantung sepenuhnya kepada sama ada mereka mampu menjuarai UCL, dan segalanya akan dimaafkan. Dalam pada itu, prestasi mereka di dalam liga, mereka agak menghampakan.
“Selepas Manchester City memenangi EPL dalam 4 musim terakhir, Arsenal adalah pasukan yang menunggu peluang untuk menjuarainya. Namun mereka gagal untuk menunjukkan prerstasi mereka untuk memberikan tekanan kepada Liverpool dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Saya berpendapat, ini agak mengecewakan dengan mengambil kira kedudukan Arsenal dalam beberapa musim terakhir ini. Mereka telah menjadi pasukan yang meningkat naik untuk memenangi EPL dan menjadi lebih baik.
Menurut Neville lagi segalanya bermula sejak awal musim ini apabila Arsenal gagal dalam rekrut pemain mereka. Arsenal tidak membeli pemain penyerang dan terlalu bergantung kepada Kai Havertz.
Pemain itu kemudian cedera bersama dengan beberapa pemain lagi yang turut cedera seperti Odegaard dan Saka.
Neville yakin Arteta selama ini membina pasukan untuk memenangi EPL namun agak mengecewakan pada musim ini mereka kelihatan semakin gagal dalam usaha untuk meraih kejuaraan liga.
“Dari segi rekrut pemain mereka gagal untuk memperbaiki diri mereka. Ditambah dengan kecederaan Havertz, yang menjadi satu satunya penyerang mereka – memandangkan Arteta tidak begitu menganggap Jesus sebagai penyerang utamanya.
“Kecederaan Odegaard juga satu kehilangan besar buat mereka. Dan banyak isu melibatkan mereka di luar padang. Dengan CEO mereka saya rasa sedang menuju ke Spurs.
“UCL adalah peluang terbesar mereka, Namun EPL adalah perkara paling penting untuk kamu. Saya rasa Mikel Arteta membina pasukan ini untuk memenangi EPL. Dan musim ini mereka seharusnya berada di sana atau hampir dengan Liverpool, namun mereka gagal dan agak mengecewakan,” tambah Neville.
"They've gone backwards, I think, from the start of the season."
Gary Neville and Robbie Mustoe debate Arsenal's campaign so far as the title slips further out of reach. pic.twitter.com/X9y5xGG7JL
— NBC Sports Soccer (@NBCSportsSoccer) April 12, 2025
Robbie Mutso pula tidak setuju dengan Neville yang menganggap Arsenal sedang mengundur ke belakang. Kerana menurutnya, Arsenal boleh diberikan pujian jika menamatkan musim sebagai naib juara buat kali ketiga berturut turut.
“Kita harus mengambil kira faktor kecederaan. Dari sudut rekrut, mereka perkuatkan posisi penjaga gol pertahanan, di tengah. Dan serangan adalah perkara paling penting untuk mereka perkuatkan.
“Namun mereka kehilangan Havertz, Jesus, Odegaard dan Saka untuk tempoh lama, saya rasa sukar untuk mengkritik pasukan yang banyak kecederaan, melihat kepada cara mereka bermain musim ini.
“Liverpool adalah pasukan yang paling sedikit kecederaan. Pasukan lain ada kecederaan dan masalah mereka juga. Ini memberikan perbezaan.
“Man City memiliki ramai pemain yang cedera. Dan kita boleh bercakap tentang itu dan ini, namun kecederaan ini menjadi faktor perbezaan mereka. Dan saya tahu, kamu ada skuad. Namun jika kamu berusaha untuk memenangi liga, pasukan di atas ada kurang kecederaan dan segalanya berjalan lancar.
“Dan sukar untuk kamu mengekalkan tempo dengan kecederaan yang dialami.
“Dengar sini, ya mereka perlukan penyerang baharu, namun pasukan ini bukannya mengundur ke belakang,” kata Mustoe membalas kritikan Neville.