Neville Kecam Komen Xhaka Berbunyi: “Tak Ada Telur, Duduk Rumah Saja”

Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka tampil dengan komen yang sangat jujur.

Dia berkata pada masa ini kelabnya tidak layak bermain di peringkat Liga Juara-Juara Eropah yang merupakan kejohanan tertinggi di Eropah.

Xhaka berkata sedemikian setelah Arsenal kalah kepada Newcastle United dalam aksi pada Selasa.

Dengan kekalahan itu, pemain Switzerland itu berkata cita-cita The Gunners untuk muncul dalam pentas paling berprestij untuk kelab Eropah itu sendiri telah retak walaupun belum hancur sepenuhnya.

Arsenal sebelum ini meletakkan diri mereka 4 mata di atas Spurs ketika menang dalam dua perlawanan penting menentang Chelsea dan Man United.

Mereka berada di kedudukan terbaik untuk persaingan ke UCL.

Namun nasib mereka berubah apabila kalah di tangan Spurs minggu lalu.

Dan pada Selasa, Arsenal mendapati diri mereka kini 2 mata di belakang Spurs selepas menelan kekalahan kedua berturut turut dalam aksi yang wajib menang untuk mereka.

Lebih menyakitkan hati, kekalahan itu membuatkan Chelsea layak ke UCL secara automatik walaupun belum turun beraksi pada aksi ke-37. Semuanya gara gara Arsenal yang merupakan seteru sebandar mereka.

Selepas tewas kepada Tottenham Hotspur dengan jaringan 0-3 sebelum ini, pada minggu ke-37, pasukan Mikel Arteta tewas sekali lagi, kali ini dengan jaringan 0-2.

Xhaka kegeraman dan berkata: “Apa yang berlaku adalah prestasi buruk. Anda [Arsenal] tidak layak bermain dalam Liga Juara-Juara malah Liga Europa. Amat sukar untuk menerimanya pada masa ini.”

Xhaka menjadi pemain penting Asenal musim ini. Namun dia sangat kecewa dengan kegagalan mereka memanfaatkan peluang.

“Apa yang berlaku adalah prestasi yang sangat teruk. Kamu tak berhak bermain di UCL malah di Europa sekalipun. Saya tak tahu kenapa kami tidak melakukan apa yang diminta jurulatih.”

Seterusnya Xhaka berkata: “Jika ada pemain yang tak sedia untuk bermain perlawanan seperti ini [dengan tekanan kuat], duduk sahaja di rumah.”

“Tak kisahlah berapa umur kamu. 30, 35 atau 10, boleh jadi 18. Jika kamu rasa gugup, sila duduk di bangku simpanan atau duduk di rumah. Jangan datang ke sini. Kamu perlu ada telor [cukup berani] untuk datang ke sini dan bermain. Kerana kita semua tahu ini adalah perlawanan yang paling penting untuk kami.”

Gary Neville tidak setuju dengan komen Xhaka yang menurutnya pemain itu seolah olah sedang menyindir pemain pemain muda Arsenal.

Neville berkata: “Jelas sekali dia menembak orang yang dalam bilik persalinan. Saya cuma berharap dia tidak menujukannya kepada pemain pemain muda.”

“Dia sendiri?,” soal Neville mempersoalkan prestasi Xhaka.

“Biar saya berterus terang, dia sendiri pun menunjukkan aksi memalukan dalam 4 atau 5 tahun di Arsenal, selalu kena buang padang sebab cuai.”

Penyokong Arsenal menuduh Gary Neville sebagai hipokrit. Sebelum ini dia pernah mempersoalkan mentaliti dan kepimpinan pemain senior di Arsenal. Ketika Xhaka menunjukkan karakternya yang agak tegas, dia pula menyindir pemain itu dengan berprasangka Xhaka cuba menembak pemain pemain muda dengan niat tidak baik.

Mikel Arteta sendiri kecewa dengan prestasi pasukannya dalam perlawanan genting.

“Ia mengecewakan bahawa Newcastle 10 kali lebih baik daripada kami dan prestasi kami [pemain Arsenal] tidak berada di tahap yang kami perlukan jika kami mahu bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah,” kata pengurus yang baru melanjutkan kontrak baharu itu kepada Sky Sports.

Satu-satunya harapan untuk Arsenal boleh bermain semula dalam Liga Juara-Juara ialah menewaskan Everton sambil mengharapkan Tottenham Hotspur tewas kepada Norwich City pada minggu terakhir Liga Perdana 2021/22.

Selain daripada keputusan itu, Arsenal akan meratapi kegagalan ke UCL buat kali keenam berturut turut.

Ianya tidak bagus untuk Arsenal kerana akan menyukarkan bajet mereka selepas ini kerana terlalu lama tidak beraksi di UCL dan kehilangan tajaan besar.

 

Baca yang lain