Neville Salahkan Glazer

Gary Neville antara pundit yang sentiasa menjadi perhatian setiap kali Man United kalah. Dia juga seringkali menjadikan Glazer sebagai mangsa kritikannya apabila Man United tewas.

Dan terbaru bekas kapten legenda Man United itu sekali lagi menyalahkan Glazer punca kepada kekalahan 1-3 Man United di tangan Brighton.

Menurut Neville, apa yang berlaku di luar padang telah mempengaruhi prestasi pasukan di dalam padang dan menyulitkan kelab tersebut untuk kembali menjadi kuasa bola sepak eropah.

Neville mempertahankan tindakannya yang menyalahkan Glazer setiap kali Man United kalah. Dia mendesak Glazer segera berambus dan menyerahkan pemilikan kepada orang yang lebih tepat.

Menerusi Tweet rasminya dia berkata: “Oh ya, dan ya, Glazer yang bertanggungjawab. Begitulah dia. Kamu memiliki perniagaan dan segala baik buruk itu akan bersama kamu. Mereka mewarisi yang terbaik dalam semua perkara.”

“Mereka buat buat tak nampak pencapaian biasa biasa di luar dan di dalam padang. Mereka menetapkan budaya tamak, tidak berdisiplin, tidak mampu membuat keputusan dan ketidakpastian yang berlaku di dalam kelab ini.”

“Langkah terbaik adalah mereka menjual kelab ini dengan lebih cepat dan efisien dan membenarkan sekurang kurangnya isu di luar padang diperbetulkan dan melaraskan semua ton dan budaya kelab ini.”

“Bola sepak itu bergerak pantas dan keputusan di atas padang mungkin sukar diramal, namun jika isu di luar padang, termasuk pemilik dan kepimpinan berada di landasan yang tepat, ianya akan memberikan kamu peluang lebih baik untuk berjaya.”

Pandangan Neville itu mendapat reaksi berbeza di kalangan peminat Man United. Menurut mereka, Ten Hag tetap bertanggungjawab di atas kekalahan ini kerana dia yang membuat pemilihan pasukan dan taktikal.

Ada juga peminat lawan yang mengingatkan Neville bahawa Glazer sudah memberikan dana kepada Ten Hag untuk membeli Onana, Mason Mount, Rasmus Hojlund dan mendapatkan Sofyan Amrabat secara pinjaman.

United juga menjadi pasukan paling tinggi perbelanjaan bersih dalam pembelian pemain sejak era Glazer berbanding pasukan lain di England.