Malaysia dibelasah oleh New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa. Malaysia sebelum ini mengadakan aksi persahabatan tertutup dengan sebuah kelab di New Zealand.
Kali ini Pau Marti akan berdepan ujian getir yang sebenar.
Separuh masa pertama Malaysia bergelut untuk mendapatkan rentak permainan mereka. Dan cuma mulai menunjukkan sedikit rentak yang dimahukan pada 5 minit terakhir separuh masa pertama.
New Zealand pasukan lebih baik namun gagal menjelmakan gol pada separuh masa pertama.
Namun skuad All Whites berjaya mencetak 3 gol pada separuh masa kedua. Gol pertama mereka adalah menerusi Elijah Just pada minit ke-53. Di mana pemain itu terlalu mudah menerima bola di dalam kotak penalti dan menyambarnya masuk.
Lapan minit kemudian giliran Matthew Garbett menyempurnakan peluang gol beliau dengan tolakan yang sangat mudah.
New Zealand menambah satu gol menerusi kapten legenda mereka Chris Wood pada minit ke-72. Wood mendapat peluang terhidang setelah Syihan Hazmi gagal untuk menepis lebih kemas hantaran pemain New Zealand.
Wood yang tidak dikawal di belakang telah menanduk mudah gol ketiga.
Malaysia kemudian cuba untuk menyerang balas lawan untuk mendapatkan gol saguhati. Namun serangan balas mereka gagal membuahkan hasil.
Pada minit ke-90, Logan Rogerson melengkapkan kemenangan 4-0 New Zealand menerusi gol yang cantik dengan rembatan deras dari luar kotak penalti.