Neymar Cedera Lagi: ‘Doktor Dah Cakap Dah’

Penyerang Brazil, Neymar sekali lagi mengalami kecederaan. Kali ini pemain itu dilihat mengerang kesakitan pada bahagian ototnya hanya 30 minit selepas dia masuk dari bangku simpanan pada separuh masa kedua dalam kemenangan pasukannya menentang Esteghlal dalam Liga Juara-Juara AFC.

Pemain berusia 32 tahun itu terhincut hincut keluar dari padang dan terpaksa diganti, mencetuskan kebimbangan akan kecederaan serius yang lain. Ini selepas dia berehat panjang sebelum ini, yang membataskan penampilannya di Al Hilal. Dia hanya bermain 44 minit untuk Al Hilal setakat ini.

Neymar baru sahaja membuat penampilan kedua musim ini untuk Al-Hilal, baru sahaja kembali selepas setahun berehat kerana kecederaan ligamen anterior cruciate.

Bercakap tentang kecederaannya, Neymar berkata: “Saya terasa seperti kekejangan otot namun sangat kuat. Saya akan buat ujian selepas ini, harap ianya tidak serius.”

Dia mengakui bahawa dia telah diberi amaran oleh doktor tentang satu lagi kecederaan jika dia beraksi. Menerusi IG miliknya, Neymar berkata lagi:

“Mudah-mudahan tidak terlalu serius… Biasalah selepas setahun [tidak beraksi] ini berlaku, doktor sudah memberikan amaran kepada saya, jadi saya perlu berhati-hati dan bermain lebih banyak minit.”

Kecederaan ini bermakna, Neymar akan diketepikan daripada skuad Al-Hilal untuk aksi Liga Pro Saudi untuk sekurang kurangnya dua perlawanan seterusnya.

Jika dia cergas, dia mungkin akan beraksi menentang Al-Sadd dalam Liga Juara-Juara AFC pada 26 November.