Neymar Dah Lupakan Barca, Dan Kini Fokus Nak Julang UCL Bersama PSG Musim Depan

Bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG) Neymar Jr telah memutuskan masa depannya dengan kekal di kelab tersebut.

Ini sekaligus melupakan hasratnya untuk kembali semula ke Barcelona.

Musim lalu, pada pra musim, Neymar menyatakan dia mahu ke Barcelona.

Dan selepas perpindahan itu gagal dimeterai, Neymar memberikan komitmen kepada PSG tetapi masih mahu ke Barcelona selepas musim berakhir.

Bartomeu sebelum ini sudah mengesahkan bahawa mereka mahukan Neymar kembali tetapi rundingan dengan PSG adalah rumit.

Ini kerana PSG meminta bayaran yang sama ketika mereka membeli Neymar dari Barcelona.

Lantas Bartomeu menyatakan mustahil untuk Barca mendapatkan Neymar kerana PSG memang tak nak menjualnya.

Neymar pernah merajuk ketika mendapat tahu kelabnya itu menutup rundingan dengan Barca.

Alasan utama Neymar mahu ke Barca kerana itu adalah rumahnya menurut beliau. Seterusnya beliau mahu bergandingan semula dengan Lionel Messi.

Neymar Messi dan Suarez satu ketika dahulu pernah membentuk gandingan digelar MSN yang sangat menggerunkan.

Sekarang Neymar telah berubah pikiran, dan tidak ingin kembali ke Barcelona. Keputusan ini nampaknya tidak dapat dipisahkan dari kejayaan pemain dalam membantu PSG melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara 2019/2020.

Neymar juga mengatakan bahawa dia tidak mahu berpindah dari PSG. Dia mahu kekal di Paris dan mahu kembali memimpin kelab itu ke final Liga Juara-Juara dan menjadi juara.

“Saya akan kekal di PSG musim depan,” kata Neymar semasa wawancara dengan PSG Le Mag.

“Saya akan kekal di sini dan dengan cita-cita untuk kembali ke final Liga Juara-Juara, kali ini untuk memenanginya.”

“Saya suka dengan idea melakukan segalanya untuk meninggalkan nama saya dalam buku sejarah kelab saya,” tambah Neymar.

Neymar kekal di PSG adalah lebih masuk akal

Menurut ejen beliau, keputusan Neymar untuk kekal di PSG dan tidak kembali ke Barcelona sememangnya keputusan yang masuk akal ketika ini.

Ejen kepada Neymar mencadangkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mengikuti jejak Neymar ke Paris Saint-Germain.

Les Parisiens dianggap tempat yang menyeronokkan untuk bintang bola sepak.

Berita mengenai dua bintang bola sepak, yang masa depannya menjadi spekulasi, mendorong Wagner Ribeiro untuk turut serta dalam perbualan.

Ejen Neymar itu tidak teragak-agak untuk menjemput Messi dan Ronaldo untuk meneruskan kariernya di PSG dan menjadi rakan sepasukan untuk kliennya itu.

Pada pandangan Ribeiro, PSG adalah kelab besar yang dapat menyediakan semua keperluan pemainnya.

Selain itu, juara Liga Perancis juga disokong oleh dana yang banyak dari pemilik kelab, Qatar Sports Investments, yang diketuai oleh Nasser Al Khelaifi.

“Ada ketika Neymar sedih kerana cedera dan pada waktu itu dia ada terfikir ingin pergi, sama ada nak kembali ke Barcelona atau ke Real Madrid.”

“Tetapi sekarang tidak ada lagi – anda dapat melihat betapa bahagianya dia sekarang,” kata Ribeiro.

“Tinggal di ‘City of Lights’, di mana semua orang ingin berjalan-jalan, menikmati masakan Perancis, tinggal di rumah yang indah dengan rakan dan keluarga di sekitar, bermain di salah satu kelab terbaik dengan semua yang anda perlukan selalu ada tersedia.. apa alasan dia meninggalkan PSG sekarang?”

“Neymar sangat gembira dan saya fikir dia akan kekal di PSG [sekurang kurangnya] untuk dua tahun lagi. Hari ini, tanpa keraguan, pada pandangan saya, adalah lebih mudah melihat Messi untuk bergabung dengan PSG berbanding Neymar kembali ke Barcelona,”.

“Messi dan Cristiano Ronaldo. Saya serius: Anda tidak perlu meragui kekuatan ekonomi Qatar,” kata Ribeiro yang menyindir Barcelona dan Juventus yang bergelut dengan gaji pemain bintang tersebut.