Nicky Butt Mahu United Belajar Daripada Kekesalan Terbesar Kelab Iaitu Januzaj

Ketua Pembangunan Bakat pasukan utama Manchester United iaitu Nicky Butt menganggap Adnan Januzaj adalah perkara yang paling mengecewakan berlaku di Manchester United.

Hal ini kerana mereka gagal untuk menjadikan pemain itu sebagai bakat elit dalam bola sepak dunia. Kalau mengikut perkiraan mereka sebelum ini, Januzaj pada hari ini sudah berada di tahap superstar dalam bola sepak global. Sebaris dengan nama seperti Kylian Mbappe, Neymar, Messi dan Ronaldo.

Tetapi jelas sekali pemain itu pada hari ini adalah bakat yang dilupakan. Beliau ada potensi yang sangat besar ketika masih muda. Sama dengan apa yang sedang dinikmati oleh Mason Greenwood.

Beliau diserap ke dalam pasukan utama pada usia yang sangat muda. Harapan Manchester United adalah untuk menjadikan Januzaj sebagai pemain berkelas dunia tidak kesampaian.

Butt berkata: “Bagi saya, kekecewaaan terbesar kelab ini adalah Adnan Januzaj. Saya tidak pernah lagi melihat pemain muda berbakat sehebat dia, selepas Ryan Giggs dahulu.”

“Ketika itu beliau luar biasa. Pada usia sangat muda Januzaj bermain di tahap profesional dan kami percaya dia akan menikmati karier yang gemilang.”

“Beliau patut boleh menjadi superstar dalam bola sepak pada hari ini. Saya tahu dia pun jutawan hari ini kerana bola sepak dan tidak risau tentang membayar bil. Tetapi pada pandangan saya, dia patut mencapai lebih lagi dalam kariernya.”

Januzaj menyertai Manchester United pada 2011 dan diserap masuk ke dalam pasukan senior pada 2013. Namun beliau hanya menjadi pemain simpanan yang tidak digunakan pada perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson.

Di bawah kendalian David Moyes, Adnan Januzaj melakukan debut. Beliau melakukan aksi luar biasa menentang Sunderland dengan menjaringkan 2 gol. Ketika itu United menang 2-1.

Dan bakatnya semakin menjadi perhatian dunia. Malah mulai mendapat jolokan Ronaldo baharu. Lebih lebih lagi kedua-duanya sama tarikh lahir, cuma beza tahun.

Mangsa kepada situasi kelab

Butt percaya Januzaj adalah mangsa kepada situasi di kelab ketika itu. Di mana berlaku peralihan pengurusan sehinggakan Januzaj tidak dibangunkan dengan sebaiknya seperti dirancang.

Biasanya, di Eropah, apabila pengurus bertukar ganti, mereka akan membawa staf kejurulatihan baharu. Pada ketika Januzaj sedang bergelut dengan prestasi, pengurus baharu United, Louis Van Gaal memutuskan untuk tidak menggunakannya

Van Gaal mahukan set pemain beliau sendiri. Situasi transisi di United ketika itu penuh dengan konflik dan kecelaruan. Van Gaal sendiri mendedahkan prosesnya memang kurang cantik kerana Ed Woodward sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan untuk membantu pasukan.

Selain itu Van Gaal fokus kepada pembangunan pemain lain dan membuatkan pembangunan Januzaj diabaikan.

Selain itu Nicky Butt juga mengakui bahawa Adnan Januzaj tidak memiliki mentaliti luar biasa seperti Ryan Giggs untuk mengatasi krisis prestasinya. Bukan semua pemain boleh memiliki mentaliti kuat seperti itu.

“Saya ingat lagi, saya bercakap dengan Steve Bruce dekat anjung pemain sebelum Ryan Giggs mengambil alih tugasan [vs Hull] dan saya menjadi pembantunya. Saya kata kepada Bruce: ‘Adnan sebagus dia [Ryan Giggs]’. Namun Brucey kata, tak mungkin.”

“Tetapi selepas tamat perlawanan Brucey datang berjumpa saya dan berkata, dia [Januzaj] betul betul bagus, sangat bagus.”

“Memang kecewa melihat beliau gagal mendapatkan karier yang diharapkan. Namun saya yakin dia akan menjadi superstar jika dia ada mentaliti Ryan Giggs.”

Januzaj masih diberikan peluang bermain dengan pasukan elit. Ini apabila Louis Van Gaal menghantar beliau secara pinjaman ke Borussia Dortmund.

Beliau tetap gagal memberikan aksi optimum. Januzaj kemudian bergabung semula dengan David Moyes di Sunderland pada ketika itu, usia beliau sudah pun 24 tahun.

Namun karier Januzaj terus nampak statik. Malah di dalam pasukan kebangsaan Belgium beliau tidak dapat menjadi pemain pilihan utama dengan bakat yang sarat ada di sana.

Lantas Nicky Butt menganggap Adnan Januzaj sebagai kekesalan yang paling mengecewakan pernah berlaku dalam Manchester United.

Namun Butt mahu ianya dijadikan pengajaran kepada United dalam pembangunan pemain selepas ini. Tidak mahu akan ada lagi kes seperti Adnan Januzaj.

Ketika ini United ramai pemain muda berbakat termasuk Brandon William dan juga Mason Greenwood.

Nicky Butt dianggap salah seorang pembangun bakat muda penting di Man United. Di mana pada 2016, beluau sudah membantu 15 graduan United mendapatkan kontrak profesional. Sama ada dengan Man United ataupun kelab lain.

Mereka termasuk Adnan Januzaj, Paddy McNair, Jesse Lingard, Cameron Borthwick-Jackson, Tyler Blackett, Donald Love, Andreas Pereira, Will Keane, Reece James (bukan yang Chelsea tu ye), Tom Lawrence, Michael Keane, Tom Thorpe, Scott Wootton dan Ryan Tunnicliffe.

Pada era Sir Alex Ferguson, Man United memiliki hubungan yang sangat dekat dengan akademi mereka. Oleh sebab itu class of 92 menjadi tunjang kepada kegemilangan United.

Namun selepas itu hubungan antara akademi dan pasukan utama tidak sebaik itu lagi. Oleh sebab itu Ole Gunnar Solskjaer melantik Nicky Butt sebagai orang penting menjadi perantara sekali lagi di antara pasukan utama dan akademi.

Ini termasuk membawa semula Mike Phelan ke dalam kelab.

Baca yang lain